Monday, October 18, 2010

Lima pelajar dimasukkan ke hospital hidu bau bahan kimia

Posted on October 16, 2010, Saturday
YAN: Lima pelajar Tingkatan Tiga Sekolah Menengah Kebangsaan Guar Chempedak dimasukkan ke Hospital Yan kelmarin selepas terhidu bau kimia dipercayai berpunca dari sebuah kilang semasa berkumpul di dewan sekolah itu untuk menghadiri taklimat.
Seorang daripada mereka Nurul Izwarina Mohd Khorazi, 15, berkata bahawa pada  9.30 pagi semasa semua pelajar tingkatan tiga berkumpul di dewan, dia terbau sesuatu seakan-akan bau sejenis cecair membasuh kain.
“Saya mula rasa pening dan sesak nafas. Saya maklumkan kepada kawan tentang itu dan kawan saya juga merasa perkara yang sama.
“Memandangkan saya mempunyai penyakit asma, saya pergi mengambil ubat saya di kelas dan memaklumkan perkara itu kepada cikgu,” katanya ketika ditemui di Hospital Yan di sini.
Beliau berkata selepas memaklumkan kepada guru, ramai lagi pelajar mengadu terbau benda yang sama menyebabkan guru mengarahkan semua pelajar sekolah itu berkumpul di padang sekolah dan memakai topeng penutup hidung.
Seramai lapan pelajar perempuan dan seorang lelaki dibawa ke klinik kesihatan tetapi semua diarah untuk mendapatkan rawatan di hospital.
“Lima daripada kami ditahan dan yang lain dibenarkan pulang,” kata Nurul Izwarina.
Seorang lagi pelajar, Nor Zahirah Dzahir, 15, berkata dia pernah mengalami situasi yang sama semasa belajar di Sekolah Kebangsaan Guar Chempedak pada 2003.
“Tetapi masa tahun itu (2003) keadaan saya tidak teruk dan tidak ditahan di hospital,” katanya.
Jurucakap Jabatan Kesihatan Kedah ketika dihubungi berkata semua pelajar yang dimasukkan ke hospital berada dalam keadaan stabil.
“Kita akan serahkan kepada Jabatan Alam Sekitar untuk mengambil sebarang tindakan terhadap kilang itu,” katanya. — Bernama

600 GSTT di Kedah harap dapat sambung kontrak

ALOR SETAR: Seramai 600 Guru Sandaran Tidak Terlatih (GSTT) di Kedah berharap Kementerian Pelajaran akan menyambung kontrak mereka yang berakhir hari ini dan 30 Okt ini.

BANTU KAMI: Sebahagian daripada 400 Guru Sandaran Tidak Terlatih (GSTT) yang bertemu Pengerusi Gabungan Pelajar Melayu Semananjung (GPMS) Kedah, Zuraidi Rahim bagi mencari penyelesaian kepada kemelut kontrak perkhidmatan tidak disambung di pejabat pertubuhan itu di Shahab Perdana di Alor Setar, semalam. — Gambar Bernama
Sehubungan itu, mereka berharap Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang juga Menteri Pelajaran, mengambil tindakan drastik agar nasib mereka terbela.
Pengerusi Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Kedah, Zuraidi Rahim berkata, sepanjang perkhidmatan guru itu, mereka telah menunjukkan prestasi yang amat baik dan diperakui oleh pengetua sekolah berkenaan.

Bercakap kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan sebahagian guru itu di pejabat gabungan itu di sini semalam, beliau turut menggesa kementerian agar menyediakan untuk guru-guru GSTT Kursus Dalam Cuti (KDC) yang telah ditamatkan pada 2008. — Bernama

Wednesday, October 13, 2010

GSTT diserap ke jawatan tetap

Oleh MOHD. RAFIE AZIMI
rafie.azimi@utusan.com.my
KUALA LUMPUR 12 Okt. - Kementerian Pelajaran bakal memperkenalkan mekanisme bagi membolehkan lebih ramai guru sandaran tidak terlatih (GSTT) diserap ke jawatan tetap pada masa hadapan.
Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, kajian khusus mengenainya sedang dijalankan dan ia dijangka dapat disiapkan dalam masa terdekat.
Beliau berkata, kementerian sedar ketika ini terdapat ramai GSTT yang berkebolehan serta berkemampuan namun gagal menempatkan diri ke jawatan tetap kerana tempat yang disediakan adalah terhad.
"Bagi membolehkan mereka diserap ke jawatan tetap, kementerian menggalakkan GSTT memohon mengikuti Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI). Namun kami sedar, bukan semua 12,546 GSTT akan diterima kerana tempat yang terhad.
"Justeru, satu kajian khusus sedang dijalankan dan kita akan mengetahui hasilnya dalam masa terdekat. Kementerian prihatin dengan nasib guru berkenaan kerana ada antara mereka yang telah berkhidmat lebih daripada lima tahun," katanya.
Beliau menjawab soalan Datuk Noraini Ahmad (BN-Parit Sulong) yang meminta kementerian menyatakan sama ada wujud dasar menyerap semua GSTT ke jawatan tetap setelah mengikuti Kursus Dalam Cuti (KDC).
Sementara itu, Mohd. Puad menjelaskan, kementeriannya masih meneruskan program KDC dan Kursus Diploma Perguruan Malaysia (KDPM) bagi menyerap GSTT ke jawatan tetap.
"Seramai 1,400 guru GSTT akan menyertai kedua-dua program tersebut 22 November depan bagi melayakkan mereka diserap ke jawatan tetap.
"Bagi yang tidak terpilih KPLI, KDC dan KDPM, Kementerian Pelajaran prihatin dengan nasib mereka. Menyedari minat serta kelayakan yang ada pada GSTT, sebab itulah kementerian menjalankan kajian tersebut," ujarnya.

Lantai sekolah runtuh, 10 murid cedera

13/10/2010 5:12pm

ALOR SETAR - Seramai 10 orang murid Darjah Empat Sekolah Kebangsaan Gunong di Gunung Keriang dekat sini cedera dengan dua daripadanya serius selepas lantai bangunan sekolah yang menempatkan kelas mereka runtuh pagi tadi.
Kejadian yang berlaku kira-kira pukul 11 pagi itu melibatkan 30 murid yang sedang mengikuti kelas Pendidikan Islam.
Lantai dikatakan runtuh secara tiba-tiba dan murid yang berada di dalam kelas itu terjatuh ke dalam lubang sedalam satu meter dan selebar dua meter persegi.
Lima murid lelaki dan lima murid perempuan itu dikejarkan ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini bagi mendapatkan rawatan, oleh pihak sekolah dan ibu bapa yang kebetulan berada di situ.
Salah seorang murid berkenaan, Mohd. Aliff Hakim Abu Bakar berkata, ketika kejadian, secara tiba-tiba lantai kelasnya reput (patah) menyebabkan dia terjatuh ke dalam lubang runtuhan itu.
“Saya merangkak keluar dan ustazah tarik saya keluar. Saya terkejut. Saya cedera kaki kanan,” katanya ketika ditemui di HSB.
Filza Nadhirah Idris yang juga cedera di kaki kanan berkata sewaktu kejadian dia merasakan kelas itu bergoyang-goyang sebelum dia terjatuh ke bawah. - Bernama

Sunday, October 10, 2010

BOM GERGASI PERANG DUNIA TERPAKSA DILETUPKAN DUA KALI DI SMK LUTONG, MIRI, SARAWAK

SEBUTIR bom lama, peninggalan Perang Dunia Kedua, ber diletupkan petang tadi di Miri Sarawak, tetapi polis terpaksa menggunakan kaedah meletupkannya secara berulang, iaitu dua kali bagi mengelak kemungkinan buruk ekoran saiznya yang terlalu besar.

Bom seberat 450 kilogram itu juga terpaksa ditanam sedalam lebih 3.5 meter, manakala penduduk seramai 700 orang yang tinggal di sekitar 1.5 kilometer daripada lokasi kerja memusnahkan bom dipindahkan sementara dengan pasukan polis dan Rela diarah berkawal rapi.

Ketua Turus dan Persenjataan Kontinjen Polis Sarawak, ASP Wan Zulkifli Wan Ali yang mengetuai operasi memusnahkan bom gergasi itu, berkata selain Unit Pemusnah Bom (UPB) Sarawak, beberapa pegawai dari Bukit Aman turut serta dalam operasi itu.

Ini kerana saiznya yang besar dan bimbang kesan daripada kerja memusnahkannya memudaratkan kawasan sekitar.

Bom itu ditemui seorang pekerja ketika menggali tanah tidak jauh daripada Sekolah Menengah Kebangsaan Lutong, di Miri. Ia dipercayai bom yang digugurkan oleh paskan Tentera British sepanjang Perang Dunia Kedua.