Tuesday, April 19, 2011

‘Sekolah Dalam Hospital’ mulai Jun 2011

Peluang pendidikan untuk kanak-kanak yang dirawat di hospital
KUALA LUMPUR: Projek ‘Sekolah Dalam Hospital’ yang diilhamkan isteri Timbalan Perdana Menteri Puan Sri Norainee Abdul Rahman akan bermula di tiga hospital kerajaan Jun ini.
Norainee berkata sebagai penaung Yayasan Nurul Yaqeen, beliau terpanggil untuk memulakan projek ini setelah melihat sebilangan besar pesakit dari bayi hingga yang berusia 18 tahun ketinggalan pelajaran apabila mereka menjalani rawatan untuk tempoh yang lama di wad.
“Sebagai ibu saya prihatin apabila melihat kanak-kanak usia persekolahan yang dirawat tidak melakukan sebarang aktiviti ketika di wad. Kanak-kanak mudah terasa bosan dan kurang bermotivasi untuk meneruskan pembelajaran apabila kembali ke sekolah,” katanya kepada pemberita di kediamannya di sini semalam.
Beliau berkata projek itu akan melibatkan kerjasama Yayasan Nurul Yaqeen dengan Kementerian Pelajaran dan Kementerian Kesihatan yang bertujuan mengelak masalah keciciran di kalangan pelajar yang mendapat rawatan jangka panjang di hospital.
Buat permulaan katanya kaedah pembelajaran adalah secara di dalam kelas dan di wad bagi murid-murid prasekolah, sekolah rendah dan menengah dengan tenaga pengajarnya merupakan guru-guru bertauliah daripada kementerian.
“Kami mencadangkan seramai 11 orang guru akan ditempatkan secara tetap bagi setiap hospital termasuk seorang guru pendidikan khas, penyelia, guru sekolah rendah dan sekolah menengah.
“Pelajar juga akan diajar mengikut sukatan pelajaran kurikulum nasional dengan kaedah pengajaran dan pembelajaran disesuaikan mengikut keupayaan pesakit,” katanya.
Beliau mendapat ilham untuk menubuhkan program itu setelah mendapati ramai pelajar terpaksa menduduki peperiksaan di hospital pada tahun lepas dan selepas pulang daripada melawat tiga hospital di Australia yang menjalankan kaedah serupa.
Pada tahun lepas, daripada 5,650 murid sekolah rendah yang dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur, 812 murid terpaksa menduduki peperiksaan di hospital manakala daripada 516 pelajar sekolah menengah, 120 juga menghadapi situasi yang sama, katanya. — Bernama

No comments: