Tuesday, August 09, 2011

Cermin mata 1Malaysia

  NR       Tuesday, August 09, 2011


MUHYIDDIN Yassin memakaikan cermin mata kepada salah seorang penerima sumbangan murid sekolah pada Program Doktor Masuk Kampung dan Karnival Kesihatan di Kompleks Sukan Pagoh, Johor, baru-baru ini.
Seramai 500 murid sekolah rendah di kawasan Parlimen Pagoh menerima cermin mata setiap seorang sumbangan daripada Pusat Khidmat Parlimen Pagoh, baru-baru ini.


Saringan pemilihan yang bermula sejak Mei lalu itu melibatkan 4,903 murid dari 36 buah sekolah rendah di Parlimen Pagoh yang dikesan mengalami masalah penglihatan rabun jauh.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Ahli Parlimen Pagoh, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, bantuan cermin mata itu disalurkan menerusi Pusat Khidmat Parlimen Pagoh dengan kerjasama Kementerian Kesihatan untuk membantu para pelajar sekolah rendah yang memerlukannya.

"Saya berharap murid-murid dapat menggunakan sumbangan cermin mata ini untuk meningkatkan pembelajaran mereka di dalam kelas.

"Kerajaan akan berusaha meningkatkan perkhidmatan kepada golongan yang memerlukan terutama membantu murid untuk mendapatkan khidmat yang terbaik dalam pembelajaran," katanya selepas melancarkan program 'Doktor Masuk Kampung' dan Karnival Kesihatan di Kompleks Sukan Pagoh, Johor, baru-baru ini.

Menurut Muhyiddin, kerajaan memandang berat masalah rabun penglihatan yang dihadapi oleh murid-murid sekolah terutama kepada keluarga yang tidak berkemampuan untuk membeli cermin mata.
Turut hadir Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai.

Program 'Doktor Masuk Kampung' yang julung kali diadakan di Parlimen Pagoh itu menghimpunkan pameran kesihatan daripada pelbagai agensi di samping perkhidmatan perubatan secara percuma kepada penduduk.
Pada program itu, Muhyiddin turut menyerahkan sumbangan sebuah bas untuk dijadikan Klinik Pergigian Bergerak kepada penduduk di Pagoh dan Muar.

Menurut beliau, program itu adalah sebahagian daripada pendekatan 'Sentuhan Hati' yang meningkatkan lagi usaha kerajaan untuk turun ke peringkat akar umbi dan meninjau sendiri masalah rakyat.

"Kerajaan akan memberi perkhidmatan kesihatan secara komprehensif di kawasan Parlimen Pagoh dengan melibatkan pasukan yang dianggotai pegawai dan penolong pegawai perubatan, jururawat serta sukarelawan daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

"Program yang dilaksanakan dua kali sebulan ini melibatkan 11 lokasi mini karnival yang meliputi 31 kampung di kawasan Parlimen Pagoh dengan lebih 30,000 penduduk akan mendapat manfaat daripada perkhidmatan ini," katanya.

- Utusan
logoblog

Thanks for reading Cermin mata 1Malaysia

Previous
« Prev Post

No comments: