Saturday, August 13, 2011

Perak akan wujudkan Kolej Pengajian Al-Quran dan hadis

  NR       Saturday, August 13, 2011

LUMUT — Kerajaan negeri Perak akan menubuhkan sebuah lagi institusi pengajian Islam bertaraf kolej sebagai usaha melahirkan lebih ramai ulama dan ilmuan Islam, kata Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir.
Beliau berkata, kolej itu yang akan menjadi satu-satunya seumpama itu di Perak dicadangkan dibina di sebuah tapak di Ipoh dan kertas kerja berkaitan dengan penubuhannya sedang giat disediakan.
"Kerajaan negeri berharap, penubuhan kolej baru itu dapat melahirkan golongan cerdik pandai Islam yang berketerampilan dalam bidang pengajian Islam, Al-Quran dan Hadis,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan zakat dan van jenazah yang disumbangkan oleh Bank Simpanan Nasional di Kampung Sungai Tiram dekat sini hari ini.
Beliau berkata, kos pembinaan kolej tersebut masih dalam kajian dan hanya dapat dipastikan sebaik sahaja kertas kerja penubuhannya itu siap tidak lama lagi.
Katanya, pada masa yang sama, kerajaan negeri sedang melaksanakan rancangan menaik taraf Kolej Islam Darul Ridzuan (Kisdar) kepada Kolej Universiti Islam Darul Ridzuan bagi menyediakan lebih banyak lagi peluang kepada lepasan Sekolah Agama Rakyat dan Maahad Tahfiz melanjutkan pelajaran di peringkat diploma dan ijazah.
Zambry berkata, bagi tujuan itu, Rektor Kisdar Prof. Madya Dr. Jamil Hashim dan pasukannya sedang giat menyediakan kertas cadangan untuk menaiktaraf kolej tersebut kepada peringkat universiti.
"Ini antara komitmen kerajaan negeri yang prihatin dengan institusi pengajian Islam di negeri ini termasuk akan memperhebatkan lagi penubuhan Maahad Tahfiz di setiap daerah,” katanya.
Beliau berkata kerajaan negeri turut meluluskan tanah seluas kira-kira 5,000 ekar bagi tujuan tabung khas untuk menjaga kebajikan Sekolah Agama Rakyat seluruh negeri.
"Kemudahan infrastruktur semua Sekolah Agama Rakyat seluruh negeri juga akan dinaik taraf secara berperingkat bagi memastikan pelajar mendapat pendidikan yang sempurna di situ,” katanya. — Bernama
logoblog

Thanks for reading Perak akan wujudkan Kolej Pengajian Al-Quran dan hadis

Previous
« Prev Post

No comments: