Thursday, August 11, 2011

Rancangan Malaysia Ke-10: RM19.4 Juta Untuk Sekolah Mubaligh Di Sabah

  NR       Thursday, August 11, 2011


KOTA KINABALU, 11 Ogos (Bernama) -- Sabah akan menerima RM19.4 juta daripada peruntukan khas RM70 juta untuk sekolah-sekolah mubaligh di bawah Rancangan Malaysia Ke-10, kata Timbalan Menteri Pelajaran Dr Mohd Puad Zarkashi.

Wang itu adalah untuk 101 sekolah mubaligh di seluruh Sabah, di mana peruntukan bagi setiap sekolah berbeza bergantung permohonan dan keperluan masing-masing, katanya selepas menyampaikan cek bantuan tersebut masing-masingnnya sebanyak RM50,000 kepada 12 buah sekolah mubaligh dalam daerah Kota Kinabalu di SM La Salle, sebuah daripada sekolah penerima itu, di sini hari ini.

Sekolah lain adalah SK St Francis Convent, SM St Francis Convent, SK Stella Maris, SM Stella Maris, SK Sacred Heart, SM All Saints, SK St Catherine, SK Saint Agnes, SK Good Shepherd, SK St Peter Telipok dan SM St Peter Telipok.

Sekolah-sekolah ini adalah antara kumpulan pertama yang menerima peruntukan tersebut. Kini terdapat 441 sekolah mubaligh di seluruh negara.

Terdahulu dalam ucapannya, Puad berkata kebiasaannya sekolah mubaligh yang tergolong dalam kategori sekolah bantuan kerajaan, diberi modal pembangunan dua tahun sekali berdasarkan permohonan yang dibuat, namun Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak atas kepekaan beliau, telah memberi peruntukan khas RM70 juta untuk sekolah-sekolah mubaligh ini.

"Yang paling penting peruntukan ini mesti sampai secepat mungkin ke sekolah-sekolah tersebut untuk memastikan kecemerlangan pendidikan dapat ditingkatkan dari penambahbaikan kemudahan-kemudahan sekolah," katanya.

Pengerusi Lembaga Pengurusan Sekolah SM La Salle, Ho Kin Wong, yang mewakili Lembaga Pengurusan Sekolah Mubaligh Negeri Sabah, berkata kebanyakan sekolah-sekolah mubaligh ini telah ditubuhkan sejak lama dahulu, termasuk yang wujud lebih 100 tahun.

Dengan itu, katanya, banyak kerja penyenggaraan dan pembaikan perlu dilakukan, dan ini memerlukan bantuan kewangan yang banyak.


-- BERNAMA
logoblog

Thanks for reading Rancangan Malaysia Ke-10: RM19.4 Juta Untuk Sekolah Mubaligh Di Sabah

Previous
« Prev Post

No comments: