Wednesday, August 17, 2011

Topik buku teks BI Sekolah Rendah tak menarik

  NR       Wednesday, August 17, 2011
Buku teks Bahasa Inggeris (BI) terutama di sekolah rendah didakwa kurang menarik minat pelajar, sekali gus menjadi faktor mereka tidak mampu menguasai bahasa itu meskipun selepas 11 tahun belajar di sekolah.


Kandungan bahan juga dikenal pasti tidak mempunyai kesinambungan antara satu topik dengan yang lain mengakibatkan pelajar tidak faham, hilang fokus dan jemu seterusnya tidak berminat untuk belajar BI.

Mendedahkan perkara itu, Pensyarah Fakulti Pendidikan dan Pembangunan Manusia Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Prof Emeritus Datuk Dr Isahak Haron, berkata bahan dalam buku teks sedia ada lebih sesuai untuk pelajar yang sememangnya datang daripada keluarga yang menuturkan BI di rumah.

Bagaimanapun, katanya di Malaysia, kira-kira lebih 80 peratus pelajar tidak menjadikan pertuturan BI sebagai amalan.

“Pendekatan ‘Communicative English’ (CE) yang menjadi bahan kurikulum dan kaedah pengajaran diamalkan di Malaysia sejak lebih 20 tahun lalu kurang sesuai untuk keadaan sekarang kerana manfaat pendekatan itu lebih menjurus kepada pelajar dari negara yang sememangnya berkomunikasi dalam BI seperti Amerika Syarikat, England serta Australia,” katanya.

Sebelum ini, Kementerian Pelajaran dilaporkan membuat penilaian semula kurikulum pengajaran Bahasa Inggeris kerana didapati gagal membantu pelajar menguasai bahasa berkenaan.
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dilaporkan berkata, langkah itu perlu kerana Kementerian Pelajaran meletakkan matlamat supaya setiap pelajar menguasai dua bahasa selepas tamat persekolahan iaitu bahasa Melayu dan Inggeris.

Isahak berkata, pendekatan CE kurang sesuai untuk diajar kepada pelajar di luar bandar kerana kegunaan atau fungsi BI tidak meluas untuk komunikasi, pelajar hanya belajar BI kira-kira sejam sehari dalam bilik darjah dan tidak menggunanya sebagai bahasa komunikasi dalam kehidupan di luar bilik darjah.

Sebaliknya, katanya, modul pembelajaran dengan pendekatan alternatif iaitu bahasa Inggeris dalam konteks isi kandungan (English in context for content- ECC) lebih menarik dan mudah diterima pelajar.

“Modul ini memberi perhatian kepada tatabahasa, kosa kata dan budaya penggunaan bahasa. Terbukti, ia mudah dipelajari dan guru juga mudah menggunakannya sebagai bahan P&P apabila kajian dijalankan di UPSI.

“Murid Tahun Satu pun seronok menguasai kosa kata menerusi ECC, mereka mampu memahami kira-kira lima perkataan asas BI dalam masa hanya 10 minit dan tidak hairanlah jika mereka boleh faham 300 perkataan dalam enam bulan serta boleh membaca buku cerita asas BI,” katanya.

Sementara itu, Profesor Bahasa dan Linguistik yang juga Pengarah Pusat Penerbitan Universiti, Universiti Teknologi MARA (UiTM), Prof Datin Dr Hajibah Osman, berkata penilaian itu perlu memberi tumpuan kepada kredibiliti tenaga pengajar sama ada benar-benar sudah menguasai bahasa kedua itu dengan baik.

“Cara penyampaian guru yang kreatif akan menarik minat pelajar kerana teknik pengajaran biasa akan membuatkan sesi P&P menjadi bosan seterusnya mengakibatkan pelajar tidak memberi tumpuan sepenuhnya,” katanya.

- BERITA HARIAN
logoblog

Thanks for reading Topik buku teks BI Sekolah Rendah tak menarik

Previous
« Prev Post

No comments: