Thursday, September 29, 2011

30 Murid Sakit Perut, Muntah Selepas Makan Jamuan Raya

  NR       Thursday, September 29, 2011




KUALA LUMPUR 27 Sept. - Lebih 30 murid Sekolah Rendah Kebangsaan Wangsa Jaya di Seksyen 4, Wangsa Maju, di sini, mengalami sakit perut dan muntah-muntah, dipercayai berpunca daripada jamuan Aidilfitri yang diadakan oleh pihak sekolah terbabit, hari ini.


Kesemua murid tersebut dipercayai termakan nasi goreng yang telah basi dalam jamuan pukul 11 pagi itu.


Menurut salah seorang ibu mangsa yang hanya ingin dikenali sebagai Akidah berkata, dia terkejut apabila suaminya memaklumkan anak mereka mengalami sakit perut dan muntah-muntah.


"Lebih mengejutkan apabila turut dimaklumkan selain anak saya, terdapat lebih 30 orang murid lagi mengalami masalah yang sama.


"Sebaik sahaja mengetahui kejadian tersebut, saya bergegas mengambil dan menghantar anak saya ke klinik untuk menerima rawatan," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.


Tambahnya, selepas menerima rawatan sebagai pesakit luar di sebuah klinik berhampiran, anaknya dan beberapa murid lain dibenarkan pulang ke rumah untuk berehat.


"Anak saya bernasib baik kerana tidak seteruk murid lain yang mengalami muntah-muntah lebih lapan kali dan terpaksa masuk ke tandas berulang kali," katanya.


Akidah memberitahu, sebelum kejadian itu, anaknya ada memaklumkan kepada gurunya berhubung bau nasi itu yang telah masam.


"Bagaimanapun gurunya menafikan dan mengatakan ia masih elok untuk dimakan. Saya kesal dengan tindakan pihak sekolah terbabit yang cuai dalam menyediakan makanan untuk murid-murid.


"Saya ada bertanya siapa membekalkan nasi itu bagaimanapun pihak sekolah enggan memaklumkan sama ada pihak kantin mahupun katering.


"Mereka enggan mendedahkan nama namun, memberitahu akan mengambil tindakan terhadap pihak terbabit," ujarnya.


Sementara itu, menurut Dr. Aziz Abu Bakar yang bertugas di Klinik Famili Wangsa Melawatiberkata, beliau telah menjalankan rawatan ke atas beberapa murid yang dihantar ke klinik terbabit.


"Berdasarkan simptom-simptom yang dialami murid-murid tersebut, jelas menunjukkan mereka mengalami keracunan makanan.

"Selepas menerima rawatan, kesemua pesakit dibenarkan pulang ke rumah masing-masing dan dinasihatkan supaya berehat," katanya.

- Utusan
logoblog

Thanks for reading 30 Murid Sakit Perut, Muntah Selepas Makan Jamuan Raya

Previous
« Prev Post

No comments: