Thursday, September 15, 2011

6 INISIATIF PENDIDIKAN MAKMAL TRANSFORMASI EKONOMI SARAWAK, 1100 PELUANG PEKERJAAN TAHUN 2020

  NR       Thursday, September 15, 2011

Enam inisiatif pendidikan dalam MTES sedia 1,100 peluang pekerjaan menjelang 2020

INISIATIF PENDIDIKAN: Jacob (tengah) menyaksikan upacara menandatangani MoU antara S.Selvanathan (kiri) dan Sharnaz (kanan).


KUCHING: Enam inisiatif pendidikan yang dicadangkan di dalam Makmal Transformasi Ekonomi Sarawak (MTES) dijangka membolehkan Sarawak menjana pendapatan RM337.3 juta dengan peluang pekerjaan sebanyak 1,100 orang menjelang tahun 2020.
Inisiatif-inisiatif tersebut ialah pertambahan institut perguruan/ pelatih bagi pra-sekolah, pertambahan pendidikan prasekolah, pusat latihan kemahiran/ kompetensi lepasan universiti bagi industri terpilih, pertambahan sekolah antarabangsa, pertambahan program peringkat lepasan universiti dan pembangunan pendidikan muzik serta generasi kreatif peringkat prasekolah, rendah dan menengah.
Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) Datuk Jacob Dungau Sagan berkata usaha sedang giat dijalankan oleh MITI dan agensi-agensi berkaitan bagi memastikan inisiatif-inisiatif tersebut dapat dilaksanakan.
“Faktor kejayaan kepada usaha ini memerlukan penglibatan banyak pihak terutamanya sokongan oleh kerajaan negeri, pihak kementerian, universiti, persatuan dan para usahawan yang menceburi sektor atau industri ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Smart Reader Worldwide Sdn Bhd dan Prodigy Music Centre di salam sebuah hotel terkemuka, di sini semalam.
MoU tersebut merupakan salah satu program yang dirancang di bawah Inisiatif Pendidikan yang dicadangkan dalam MTES melalui Kerjasama Pintar.
Sementara, Penasihat Korporat Smart Reader Worldwide Sdn Bhd, S. Selvanathan berkata kerjasama tersebut merupakan satu usaha yang menyumbang kepada pembangunan pendidikan di negeri ini dan di Malaysia amnya.
“Kita akan bekerjasama menjalankan bengkel muzik yang melibatkan tenaga-tenaga pengajar Smart Reader di seluruh Sarawak agar mereka boleh menerapkan ilmu muzik di dalam pembelajaran kanak-kanak,” katanya.
Yakin akan keberkesanan program tersebut, beliau berkata pihaknya akan mengembangkan lagi usahasama tersebut di Semenanjung Malaysia.
Smart Reader Worldwide Sdn Bhd kini mempunyai sebanyak 320 pusat perkembangan kanak-kanak di seluruh negara dan 138 pusat francais di luar negara iaitu di China, Jordan, Syria dan Brunei.
Hadir pada majlis tersebut ialah Pengarah Urusan Prodigy Music Centre Sharnaz Saberi, Penasihat MITI Kuala Lumpur Dato Nik Zainiah Nik Abd Rahman dan Pengarah MITI Sarawak Sabariah Mohd Sofian.
- UB
logoblog

Thanks for reading 6 INISIATIF PENDIDIKAN MAKMAL TRANSFORMASI EKONOMI SARAWAK, 1100 PELUANG PEKERJAAN TAHUN 2020

Previous
« Prev Post

No comments: