Saturday, September 24, 2011

Bekas juruterbang TUDM terima Anugerah Pingat Emas USM bagi kategori Pelajar Kelainan Upaya

  NR       Saturday, September 24, 2011


Mohammad Rahim Kamaluddin (kiri) dan Ahmad Wafi Shahedan (kanan) memakaikan jubah konvokesyen kepada Yuhaizam Yahaya di USM, semalam. - BERNAMA


PULAU PINANG 20 Sept. - Meskipun terpaksa berkerusi roda akibat kemalangan ngeri yang dialaminya tiga tahun lalu, Kapten Yuhaizam Yahya, 40, tidak pernah menjadikan kecacatan itu sebagai penghalang untuknya menggenggam segulung ijazah.

Malah, bekas juruterbang Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) itu berasa amat bersyukur kerana masih mampu bergelar graduan selepas terselamat dalam kejadian pesawat terhempas di Butterworth pada tahun 2004 yang turut meragut nyawa dua rakan karibnya .

Kepuasan jelas terpancar pada wajah bapa kepada empat orang anak itu setelah berjaya memperoleh Ijazah Sarjana Muda dalam kursus Sains Kemasyarakatan dari Universiti Sains Malaysia (USM) serta dipilih memenangi Anugerah Pingat Emas USM bagi kategori Pelajar Kelainan Upaya (PKU) terbaik.

''Meskipun cacat dan terpaksa berkerusi roda sepanjang tiga tahun di universiti ini tetapi saya tidak merasakan ia satu masalah. Hasil sokongan keluarga, kawan-kawan serta pihak USM sendiri, saya dapat belajar seperti insan normal yang lain.

''Yang penting, kita tidak boleh malu dan rasa rendah diri dengan kekurangan yang kita miliki. Buka minda seluas-luasnya dan terus berusaha. Pasti kejayaan menanti. Bukan hanya untuk universiti, tetapi juga ketika bergaul dengan orang ramai," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar graduan cemerlang USM bagi sesi pengambilan 2010-2011 sempena konvokesyen ke-44 universiti tersebut di sini, hari ini.

Yuhaizam yang mengalami kecederaan di bahagian tulang belakang dan tulang kaki retak akibat kemalangan kini bertugas sebagai Pegawai Pembangunan Sumber Manusia, TUDM, Ipoh.

Dalam kejadian 5 Mac 2004, kira-kira pukul 7.21 pagi, pesawat Nuri yang dipandu Yuhaizam terhempas di kawasan perumahan di Taman Udara, Permatang Tengah, Butterworth yang mengorbankan pembantu juruterbang, Kapten Dicky Rishi Chin, 27, dan Sarjan Zailani Ab. Kadir, 37.

Selain itu, USM juga memilih Profesor Dr. Al'Amin Ali Mazrui, seorang tokoh pemikir agung dalam isu-isu berkait rapat dengan dunia Afrika dan anti kolonialisme untuk menerima Ijazah Kehormat Doktor Falsafah manakala Sasterawan Negara, Datuk Noordin Hassan sebagai penerima Ijazah Kehormat Doktor Persuratan.
logoblog

Thanks for reading Bekas juruterbang TUDM terima Anugerah Pingat Emas USM bagi kategori Pelajar Kelainan Upaya

Previous
« Prev Post

No comments: