Monday, September 19, 2011

KUOTA 2,200 GURU KAFA BELUM DIISI SEPENUHNYA

  NR       Monday, September 19, 2011


TAWAU: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) Cawangan Sabah mengesahkan sehingga kini bilangan kuota seramai 2,200 tenaga pengajar Unit Kelas Asas Fardu Ain (Kafa) di negeri ini yang diperuntukkan oleh kerajaan pusat belum dapat diisi sepenuhnya.
Pengarahnya, Ahmad Zaki Arsad berkata Jabatan Perdana Menteri memperuntukkan sebanyak hampir RM20 juta setiap tahun kepada Jakim Sabah melibatkan bayaran elaun sebanyak RM800 sebulan untuk setiap 2,200 tenaga pengajar di negeri ini.
“Namun demikian tidak semua kuota itu dapat dipenuhi kerana setiap bulan, ada saja guru-guru yang berhenti dan mendapat jawatan tetap di tempat lain,” katanya ketika ditemui di sini kelmarin sempena Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Guru-Guru Kafa Peringkat Tawau.
Bagaimanapun, Zaki menyeru kepada pimpinan masyarakat di kampung-kampung yang belum ada memiliki kelas-kelas Kafa supaya menubuhkan persatuan ataupun penaja dalam kampung terbabit untuk membuat permohonan kepada pihak Jakim untuk menganjurkan kelas berkenaan.
Beliau menjelaskan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung atau Persatuan Penduduk ataupun Jawatankuasa Masjid supaya membuat permohonan terbabit demi membantu dan menggalakkan lagi pengembangan pendidikan Islam di Sabah.
“Kita juga berharap untuk tahun-tahun hadapan, kita dapat memperkemaskan lagi pengurusan Kafa ini melalui penubuhan dan penempatan-penempatan khas penyelia di peringkat daerah seperti di Tawau ini yang telahpun diadakan semenjak tiga bulan yang lalu.
“Tawau adalah yang pertama di negeri Sabah yang memiliki pejabat penyeliaannya sendiri. Mungkin selepas ini kita akan wujudkan di Beaufort dan kemudian diikuti oleh Sandakan seterusnya di tempat-tempat yang sesuai,” katanya.
Menurutnya, langkah itu diambil untuk memantapkan lagi pengurusan Kafa di Sabah memandangkan rata-rata pejabat Kafa di seluruh negeri ini sekadar menumpang di masjid-masjid, premis kedai dan dalam kereta.
Mengulas lanjut, Zaki menjelaskan bahawa pihak Jakim Sabah sentiasa menumpukan kepada usaha untuk mewujudkan dan memperkemaskan dakwah Islamiah menerusi pusat-pusat latihan termasuk memperkemaskan perjalanan kelas-kelas saudara baru.
“Jakim Sabah sentiasa membantu agensi-agensi negeri seperti Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (Jheains), Majlis Ugama Islam Sabah, Agensi Zakat, Baitul-Mal dan Jabatan Mufti dalam menjalankan aktiviti dakwah Islamiah,” ujarnya.
- UB
logoblog

Thanks for reading KUOTA 2,200 GURU KAFA BELUM DIISI SEPENUHNYA

Previous
« Prev Post

No comments: