Saturday, October 01, 2011

Menteri Pelajaran saran Sekolah Agama Rakyat diserap dibawah Kementerian Pelajaran

  NR       Saturday, October 01, 2011

MUHYIDDIN (dua dari kanan) menyampaikan sumbangan kepada Pengerusi Majlis Madrashah Al-Attas Arabiah, Syed Ali Mohamed Al-Attas sempena ulang tahun ke-100 madrasah itu di Ulu Tiram semalam.


JOHOR BAHRU - Tan Sri Muhyiddin Yassin menyarankan agar Sekolah Agama Rakyat (SAR) khususnya di Johor menyertai Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) di bawah Kementerian Pelajaran bagi membolehkan mereka menikmati peruntukan dan bantuan Kerajaan Pusat.
Timbalan Perdana Menteri berkata, di samping itu guru-guru SAR akan mendapat tawaran skim gaji yang lebih baik.
"Saya percaya kita perlu bincang sedikit masa lagi, kalau dapat dipersetujui ke Bawah Duli Tuanku (Sultan Johor) sebagai ketua agama.
"Pihak Kerajaan Pusat akan menyediakan peruntukan yang sesuai untuk meningkatkan tahap pendidikan sekolah agama mengikut skim gaji sama dengan sekolah kebangsaan di bawah Kementerian Pelajaran," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis sambutan ulang tahun ke-100 SABK Madrashah Al-Attas Arabiah Johor di Ulu Tiram di sini semalam.
Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, perbincangan di peringkat kerajaan negeri dan Pusat telah dibuat untuk menyerapkan SAR ke dalam SABK.
Katanya, kerjasama antara Kerajaan Pusat dan negeri itu adalah penting ke arah membangunkan sistem pendidikan agama dalam kalangan pelajar.
Mengenai SABK Madrashah Al-Attas Arabiah, Muhyiddin berkata, ia merupakan sekolah agama rakyat yang pertama di Johor menandatangani perjanjian persefahaman dengan Kementerian Pelajaran untuk berdaftar di bawah SABK.
Beliau memberitahu, sekolah berkenaan telah menikmati pelbagai bantuan yang disalurkan kementerian sama seperti sekolah-sekolah harian yang lain merangkumi keperluan guru-guru terlatih, kemudahan pembelajaran, buku teks dan biasiswa.
Sempena sambutan 100 tahun penubuhan madrasah itu, beliau turut bersetuju meluluskan peruntukan sebanyak RM270,000 bagi membantu meningkatkan prasarana sekolah tersebut. - Bernama
logoblog

Thanks for reading Menteri Pelajaran saran Sekolah Agama Rakyat diserap dibawah Kementerian Pelajaran

Previous
« Prev Post

No comments: