Wednesday, September 07, 2011

PELAJAR UNIVERSITI TEKNIKAL MALAYSIA MELAKA (UTEM) MAUT KONVOI RUMAH TERBUKA RAYA

  NR       Wednesday, September 07, 2011


JASIN: Perjalanan sekumpulan 40 pelajar Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) secara berkonvoi dengan menunggang motosikal untuk menghadiri rumah terbuka rakan berakhir tragedi apabila seorang daripada mereka maut selepas terbabit dalam kemalangan, semalam.

Akibat rempuhan itu, mangsa yang juga pelajar Tahun Dua Fakulti Kejuruteraan Mekanikal (Struktur Binaan) dikatakan terjatuh sebelum badannya dipercayai digilis tayar sebuah lori treler yang kebetulan bergerak apabila lampu isyarat bertukar hijau.

Rakan sebilik mangsa, Mohd Aisamudin Suhaimi, 20, berkata mangsa yang menunggang motosikal Yamaha Lagenda sebelum itu tertinggal di belakang apabila kumpulan pelajar terbabit berkumpul di kediaman mereka di Bukit Beruang untuk berkonvoi bersama dua kereta lain ke Parit Bakar, Muar, Johor.

Menurutnya, seminggu sebelum itu mereka merancang untuk pergi ke rumah seorang rakan sempena Aidilfitri kerana turut menghadiri rumah terbuka rakan lain di Jasin pada minggu lalu.

“Kami bergerak dari kolej kediaman kira-kira jam 12.15 tengah hari, tetapi tiba-tiba seorang rakan menyedari mangsa tertinggal di belakang lalu berhenti berhampiran sebuah hotel di Ayer Keroh untuk menunggu ketibaannya.
“Konvoi kami bergerak berpecah dalam tiga kumpulan, dan tanpa disedari mangsa berada dalam kumpulan paling depan lalu kami meneruskan perjalanan ke Muar.

“Namun, saya kemudian mendapat makluman daripada rakan memberitahu motosikal ditunggang mangsa hilang kawalan sebelum terjatuh lalu digilis lori,” katanya ketika ditemui di Wad Kecemasan Hospital Jasin, di sini.

Menurutnya, mangsa yang berasal dari Tawau, Sabah tidak menunjukkan sebarang perubahan, tetapi pagi semalam bangun awal dari kebiasaan berbanding sebelum ini.

Katanya, dia juga tidak menyangka sesuatu yang pelik kerana mereka memang berjanji akan menyertai konvoi membabitkan 20 motosikal untuk menghadiri rumah terbuka berkenaan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Jasin, Superintendan Che Suza Che Hitam berkata, kejadian dipercayai berlaku apabila motosikal ditunggang mangsa di laluan kiri persimpangan lampu isyarat terlanggar pembahagi jalan lalu terjatuh di atas jalan.

Katanya, pada masa sama, lampu isyarat bertukar hijau menyebabkan mangsa digilis tayar lori terbabit dan mati di tempat kejadian.

“Ketika ini, polis masih menjalankan siasatan berhubung kemalangan ini bagi mengenal pasti punca kejadian,” katanya.

- hMetro
logoblog

Thanks for reading PELAJAR UNIVERSITI TEKNIKAL MALAYSIA MELAKA (UTEM) MAUT KONVOI RUMAH TERBUKA RAYA

Previous
« Prev Post

No comments: