Thursday, September 15, 2011

PESALAH JUVENIL DAFTAR PMR, SPM SEBAGAI CALON SEKOLAH MULAI 2011

  NR       Thursday, September 15, 2011

Gambar Hiasan - Pelakon Drama Juvana TV3

MARANG 11 Sept. - Banduan muda dan pesalah juvenil yang bakal menduduki peperiksaan awam di enam buah sekolah integriti di seluruh negara akan didaftarkan sebagai calon sekolah dan bukan lagi calon persendirian mulai tahun ini.

Ketua Unit Pendidikan Jabatan Penjara, Shamsuddin Mustapha berkata, enam buah sekolah yang terlibat ialah Sekolah Integriti Sungai Petani, Sekolah Integriti Kluang, Sekolah Integriti Marang, Sekolah Integriti Kajang, Sekolah Integriti Kota Kinabalu dan Sekolah Integriti Kuching.

Katanya, selain enam sekolah terbabit, calon di Sekolah Henry Gurney Teluk Mas dan Sekolah Henry Gurney Keningau turut didaftarkan sebagai calon sekolah.

"Lebih 100 banduan juvenil bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) November ini, manakala seramai 45 orang calon Penilaian Menengah Rendah (PMR) akan menduduki peperiksaan tersebut pada bulan depan.

"Kita berharap kesemua calon memperoleh keputusan yang cemerlang dan mampu bersaing dengan calon-calon di sekolah biasa dengan peluang pendidikan sewajarnya buat mereka ," katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui pada satu program di Penjara Marang dekat sini, baru-baru ini.

Katanya, ia ekoran pencapaian akademik dan kokurikulum yang disediakan di sekolah integriti itu setanding dengan sekolah harian biasa dan mampu mengubah nasib pesalah-pesalah berkenaan pada masa depan dengan pencapaian akademik yang mereka miliki.

Dari segi pembelajaran, katanya, kesemua calon peperiksaan berkenaan menjalani proses yang sama seperti sekolah harian biasa namun sesi pembelajaran lebih terhad kerana mereka tidak disediakan kelas tuisyen.

Jelasnya, sebelum ini, seorang pesalah juvenil yang menjalani hukuman di Penjara Sungai Petani, Kedah memperoleh 7A 1B dalam peperiksaan SPM, manakala seorang lagi pesalah di di Penjara Kajang mendapat 6A 2B dalam PMR.
Untuk rekod, terdapat 99 orang guru di bawah Kementerian Pelajaran yang ditempatkan di semua sekolah terbabit dengan 11 orang setiap sekolah.

Sekolah Integriti diwujudkan melalui kerjasama Jabatan Penjara dan Kementerian Pelajaran pada 2008 termasuk dua buah Sekolah Henry Gurney mengikut sistem zon.

- Utusan
logoblog

Thanks for reading PESALAH JUVENIL DAFTAR PMR, SPM SEBAGAI CALON SEKOLAH MULAI 2011

Previous
« Prev Post

No comments: