Tuesday, September 20, 2011

Program Pembangunan Bola Sepak Sarawak masuki sekolah rendah

  NR       Tuesday, September 20, 2011


DIPERLUASKAN: Nyurang (tengah) menjelaskan kepada pemberita berhubung perkembangan SFDP bersama dengan pengurus projek Lucas Kallang (kanan) dan penyelaras juga Mohammad Mantali.


KUCHING: Program Pembangunan Bola Sepak Sarawak (SFDP) yang memasuki tahun keduanya, kini diperluaskan ke peringkat sekolah rendah dalam usaha membangunkan bakat-bakat muda bola sepak di peringkat akar umbi.
Pengarah Majlis Sukan Negeri Sarawak (MSNS) Francis Nyurang Ding semalam berkata bahawa kajian mendapati kebanyakan pemain di peringkat sekolah rendah memiliki tahap kemahiran serta teknik bola sepak yang rendah.
“Kita perlu pergi ke sekolah untuk menyampaikan teknik serta kemahiran kepada mereka dan jika mereka diajar bagaimana untuk bermain bola sepak pada peringkat awal, teknik dan kemahiran mereka boleh menjadi lebih baik,” katanya pada satu sidang media di sini, kelmarin.
Sebagai permulaan, program akan bermula pada bulan November dengan kehadiran pengarah teknikal SFDP, Alan Vest dan jurulatih Akademi Bola Sepak Belia West Ham United FC (Zon Oceania), Mike Weigh yang akan meneliti pembangunan bagi kanak-kanak bawah 12 tahun di sekolah rendah.
Mereka akan menganjurkan seminar kejurulatihan bola sepak untuk guru-guru sekolah atau jurulatih Zon Selatan yang terdiri daripada Kuching, Samarahan, Sri Aman dan Betong di Pusat Latihan Telekom bermula 11 hingga 13 November depan.
Ini diikuti Zon Tengah (Sibu, Sarikei, Mukah, Kanowit dan Kapit) dan Zon Utara yang bermula pada 16 hingga 19 November di Kampung Sukan Miri.
Vest dan Weigh juga akan mengendalikan kem bakat bola sepak bagi pelajar-pelajar sekolah kumpulan yang berusia bawah 16, 15, 14 dan 13 tahun di Zon Selatan di Pusat Latihan Telekom dari 8 hingga 10 November.
Bagi Zon Tengah dan Utara, kem akan diadakan di Kampung Sukan Miri dari 21 hingga 24 November.
Kini terdapat 44 pusat di peringkat sekolah menengah dan 56 pusat untuk sekolah rendah yang telah dikenalpasti yang melibatkan kira-kira 2,400 pelajar di SFDP.
“Keutamaan diberikan kepada sekolah-sekolah dengan jurulatih guru yang berkelayakan dan kemudahan seperti padang bola sepak dan sekolah berasrama,” kata Nyurang sambil menambah bahawa program itu turut menjangkau sekolah rendah di pedalaman seperti SK Bario dan SMK Bario.
Selain menganjurkan seminar kejurulatihan dan kem bakat, Nyurang berkata MSNS juga menganjurkan pertandingan bola sepak video, yang menawarkan hadiah-hadiah menarik kepada pemenang.
“Pertandingan ini adalah di mana pemain junior merakam video kemahiran bola sepak selama dua minit dan kemudian muat turun ke laman sesawang www.Facebook.com/sfdp2011. Pertandingan akan memberi tumpuan kepada menimang bola dan kemahiran menggelecek,” katanya.
Ia terbuka kepada semua pemain bola sepak junior Sarawak berusia di bawah 17 tahun (lahir pada atau selepas 1 Januari 1994) dan bawah 12 tahun (lahir pada atau selepas 1 Januari 1999).
Tarikh akhir penyertaan pada 30 September dan hadiah yang akan diberikan kepada sepuluh video terbaik manakala peserta dengan video tiga terbaik akan dijemput untuk membuat persembahan kemahiran mereka dalam acara khas.
SFDP adalah program lima tahun yang dilaksanakan oleh Kementerian Pembangunan Sosial dan Urbanisasi (KPSU) dengan objektif utama untuk membangunkan bola sepak di peringkat sekolah.
Pihak yang terlibat sama menjalankan program berkenaan termasuk Jabatan Pelajaran Sarawak, Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) dan MSNS.
- UB
logoblog

Thanks for reading Program Pembangunan Bola Sepak Sarawak masuki sekolah rendah

Previous
« Prev Post

No comments: