Monday, September 12, 2011

UMT TERIMA 1,900 PELAJAR SESI 2011/2012, 25 KURSUS DITAWARKAN

  NR       Monday, September 12, 2011


Aziz Deraman (tengah) beramah mesra dengan pelajar baru yang mendaftar di Universiti Malaysia Terengganu, Kuala Terengganu, semalam.


KUALA TERENGGANU 6 Sept. - Seramai 1,900 pelajar baru bakal meneruskan pengajian mereka di Universiti Malaysia Terengganu (UMT) bagi mengikuti 25 program di peringkat ijazah sarjana muda pada sesi kemasukan 2011/2012 yang berlangsung di Dewan Sultan Mizan di sini, hari ini.

Naib Canselornya, Prof. Datuk Dr. Aziz Deraman berkata, pada sesi kemasukan kali ini, UMT menawarkan sebanyak 2,382 tempat dan 1,900 pelajar menerimanya termasuk 12 pelajar dari negara luar.

"Pada tahun ini kita juga menerima 12 pelajar dari Indonesia, India, Somalia, Uzbekistan, Yemen dan China bagi mengikuti program peringkat ijazah sarjana muda menerusi pelbagai bidang yang kita tawarkan.

"Kita juga menerima lebih 50 permohonan rayuan melanjutkan pengajian dan keputusannya akan dikeluarkan selewat-lewatnya dua minggu daripada tarikh pendaftaran," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui semasa meninjau proses pendaftaran pelajar baru di Dewan Sultan Mizan, di sini hari ini.

Turut hadir, Timbalan Naib Canselor Hal-Ehwal Pelajar dan Alumni, Prof. Dr. Yahaya Ibrahim.

Dalam pada itu, Aziz memberitahu, pada sesi kemasukan tahun depan, UMT bakal memperkenalkan dua program baru iaitu pengurusan pelancongan dan kejuruteraan informatik marin dalam usaha memenuhi keperluan industri.
Jelasnya, bagi pelajar tahun pertama sesi kali ini juga berpeluang mengikuti program baru berkenaan melalui permohonan pertukaran ke program baru yang ditawarkan itu dengan syarat mereka memenuhi kriteria yang diperlukan pihak universiti.

"Kita berharap dengan program baru yang diperkenalkan ini dapat melahirkan lebih ramai graduan yang berkemahiran dalam bidang yang diperlukan oleh negara," ujarnya.

Sementara itu, Penolong Pendaftar Kanan UMT, Sayed Mohd. Tamimuddin Sayed Ibrahim dalam satu kenyataan memberitahu, bermula esok sehingga 10 September ini akan berlangsung Minggu Jalinan Mesra UMT yang diisi dengan pelbagai aktiviti.

"Antaranya aktiviti kebudayaan dan kesukanan, majlis ikrar pelajar baru serta ceramah dan sebagainya dalam usaha memberi pendedahan kepada mereka suasana kehidupan di kampus selain mengenal rakan-rakan baru," katanya.

- Utusan
logoblog

Thanks for reading UMT TERIMA 1,900 PELAJAR SESI 2011/2012, 25 KURSUS DITAWARKAN

Previous
« Prev Post

No comments: