Tuesday, October 04, 2011

10 buah sekolah menang pertandingan Robotik Peringkat Kebangsaan (NRC) 2011 ke Emiriyah Arab Bersatu

  NR       Tuesday, October 04, 2011


Dr. Zahri Aziz (dua dari kanan) bersama pemenang salah satu kategori pertandingan Robotik Peringkat Kebangsaan 2011 di Stadium Titiwangsa, Kuala Lumpur, baru-baru ini.


SEBANYAK 10 pasukan sekolah yang dipilih sebagai pemenang dalam pelbagai kategori pada pertandingan Robotik Peringkat Kebangsaan (NRC) 2011 baru-baru ini akan mewakili negara ke pertandingan World Robot Olympiad (WRO) yang bakal diadakan di Emiriyah Arab Bersatu (UAE) pada November depan.

Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran (Sektor Operasi Pendidikan), Dr. Zahri Aziz berkata, beliau yakin bahawa pasukan-pasukan yang membentuk kontinjen negara ke Abu Dhabi November nanti akan pulang dengan kejayaan yang membanggakan.

“Ini dapat dibuktikan dengan kejayaan pasukan negara menjadi Juara Dunia selama dua tahun berturut-turut iaitu pada pertandingan WRO 2009 di Pohang, Korea Selatan dan WRO 2010 di Manila, Filipina.

“Saya percaya bahawa sejarah kejayaan cemerlang akan dicipta oleh pasukan negara pada pertandingan peringkat dunia tahun ini,” katanya pada majlis penutupan dan penyampaian hadiah bagi pemenang pertandingan Robotik Peringkat Kebangsaan 2011 di Stadium Titiwangsa, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Pertandingan anjuran Sasbadi Sdn. Bhd. dengan kerjasama Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) dan Pusat Sains Negara itu merangkumi lapan kategori termasuklah Kategori Biasa dan Kategori Terbuka yang masing-masing terbahagi kepada peringkat sekolah rendah, menengah rendah dan menengah atas serta kategori Gen II Robot Soccer dan Anugerah NI Lab VIEW.

Wakil-wakil negara yang dipilih terdiri daripada empat sekolah menengah dan empat sekolah rendah yang mendapat tempat pertama dalam lapan kategori tersebut serta dua tambahan pasukan sekolah rendah yang mendapat tempat kedua.

Sekolah-sekolah menengah yang terpilih ialah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seafield, Selangor; Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Chung Ling, Johor; SMK Bintulu, Sarawak; SMJK Jit Sin, Pulau Pinang; SMK Methodist Tanjung Malim, Perak dan Permata Pintar Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Manakala sekolah rendah pula terdiri daripada Sekolah Kebangsaan (SK) Port Dickson, Negeri Sembilan; Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Tampoi, Johor; SJKC Khai Mun Pagi, Pahang dan SJKC Jalan Davidson, Kuala Lumpur.

Menurut Zahri lagi, sebagai persia
pan menghadapi cabaran sengit dalam era globalisasi masa kini dan akan datang, usaha untuk menguasai bidang ilmu pengetahuan khususnya sains dan teknologi serta teknologi komunikasi dan maklumat (ICT) harus dilipatgandakan.

“Program robotik dan latihan intensif secara hands-on setiap hari dilihat mampu memberikan pelajar pengetahuan dan pengalaman yang sangat berguna dan meningkatkan semangat juang mereka.
“Pemikiran inovatif, kritis dan kreatif yang anak-anak perolehi akan membentuk mereka menjadi modal insan yang mampu mengatasi pelbagai cabaran pada masa hadapan,” ujar beliau.

Sementara itu, Pengarah Urusan Sasbadi Sdn. Bhd., Law King Hui berkata, jumlah penyertaan yang besar oleh pasukan sekolah menengah dan sekolah rendah dari kawasan bandar mahupun dari luar bandar sejak kebelakangan ini jelas membuktikan bahawa bidang robotik semakin popular.

“Prestasi cemerlang ini memberi harapan untuk kita membentuk pasukan negara yang setanding dengan pasukan-pasukan tahun lalu yang telah meraih pingat emas, pingat perak, anugerah khas serta anugerah kecemerlangan yang melayakkan Malaysia menjadi Juara Keseluruhan pada WRO 2009 dan WRO 2010,” harap beliau.

Pertandingan peringkat kebangsaan itu melibatkan sebanyak 39 pasukan sekolah rendah dan 86 pasukan sekolah menengah bersaing mewakili 13 zon dari seluruh negara.

Kesemua pasukan yang terpilih merupakan johan dan naib johan peringkat zon masing-masing dan mereka bertanding dalam dua kategori yang terbahagi kepada enam acara.
logoblog

Thanks for reading 10 buah sekolah menang pertandingan Robotik Peringkat Kebangsaan (NRC) 2011 ke Emiriyah Arab Bersatu

Previous
« Prev Post

No comments: