Thursday, October 06, 2011

1,300 pelajar duduki asrama baru UiTM Kampus Bandaraya

SEBAHAGIAN 400 pelajar dan kakitangan UiTM bersama Mohd. Ali Rustam pada majlis tahlil dan kesyukuran kerana pembinaan asrama pelajar telah siap dan dapat diduduki di Kampus Bandaraya UiTM, baru-baru ini.


MELAKA 4 Okt. - Kemelut pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Bandaraya yang menghadapi masalah kekurangan tempat penginapan sebelum ini sudah berakhir.

Masalah yang dihadapi sejak beberapa tahun lalu selesai apabila dua daripada empat blok asrama 17 tingkat yang dibina oleh Yayasan Melaka telah siap dan mula diduduki pelajar baru sejak pertengahan September lalu.

Rektor UiTM Cawangan Melaka, Prof. Madya Datuk Dr. Mizan Hitam lega apabila masalah kekurangan tempat penginapan yang dihadapi sejak beberapa tahun lalu sudah dapat diatasi.

Menurutnya, buat masa ini, kira-kira 1,300 pelajar baru lelaki dan perempuan ditempatkan di asrama tersebut dengan kadar bayaran sewa RM150 sebulan.

''Saya ingin ucapkan terima kasih kepada Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam kerana membolehkan pembinaan asrama 17 tingkat sebanyak empat blok dapat disiapkan dan digunakan oleh pelajar baru.

''Walaupun pada masa ini UiTM menyewa daripada Yayasan Melaka dengan kadar sewa RM150 sebulan ini cukup melegakan kerana tidak timbul lagi masalah kekurangan tempat penginapan pelajar," katanya di sini.

Bulan lalu, kira-kira 400 pelajar termasuk tenaga pengajar UiTM Kampus Bandar menghadiri majlis tahlil dan kesyukuran anjuran Yayasan Melaka yang turut dihadiri oleh Mohd. Ali.

Ketua Menteri dalam ucapannya pada majlis tersebut berkata, dengan adanya asrama baru yang lebih selesa dan selamat, beliau yakin pelajar akan lebih tenteram berbanding sebelum ini.

''Kerajaan negeri memandang serius terhadap kebajikan penuntut UiTM di Kampus Bandaraya, berkaitan permasalahan asrama di kawasan bandar.

''Dengan terbinanya empat blok asrama oleh Yayasan Melaka, saya yakin UiTM Kampus Bandaraya akan menjadi salah sebuah institusi pengajian tinggi awam (IPTA) terbesar bukan sahaja di negeri ini tetapi di Malaysia," ujarnya.

Mohd. Ali menegaskan, kerajaan negeri menerusi Yayasan Melaka akan membina beberapa kemudahan lain berhampiran asrama tersebut seperti membina masjid, kedai, restoran, gimnasium, hotel untuk kemudahan pelajar di masa akan datang.

Pada masa yang sama, katanya, kerajaan negeri berharap penambahan bangunan asrama baru membolehkan lebih ramai pelajar melanjutkan pengajian di negeri ini sekali gus menjadikan Melaka sebagai pusat pendidikan utama di negara ini seperti negara maju lain.

- Utusan

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...