Thursday, October 06, 2011

Calon bernafas melalui mesin duduki PMR


Mohamad Firdaus Mohamad Rozmi bersemangat menjawab kertas peperiksaan Bahasa Melayu di katil Hospital Besut, Besut, semalam.


BESUT 4 Okt. - Meskipun terpaksa bergantung kepada mesin untuk bernafas, Mohamad Firdaus Mohamad Rozmi tetap bersemangat menduduki Penilaian Menengah Rendah (PMR) di wad Hospital Besut dekat sini hari ini.


Dia yang menderita penyakit pseudotumour paru-paru dan abdomen sejak berusia dua tahun terpaksa menggunakan mesin Bilevel Positive Airway Pressure (BIPAP) untuk bernafas tetap mengimpikan kejayaan dalam peperiksaan itu.
Penyakit itu mengakibatkan anak bongsu daripada tiga beradik itu muntah setiap kali mengambil makanan dan minuman sehingga memaksanya kerap menghabiskan masa di hospital dan rumah.

Mohamad Firdaus agak bernasib baik kerana bapanya seorang guru dan mendapat bantuan untuk membeli mesin BIPAP berharga RM58,000 yang boleh dibawa ke mana sahaja bagi memastikan dia dapat bernafas dengan selesa.
Mohamad Firdaus yang menjalani beberapa peringkat pembedahan bergantung kepada mesin itu yang disalurkan menerusi satu tiub di kerongkong ke usus selain sebuah alat penyedut bagi mengeluarkan kahak.

Dia yang bercita-cita menjadi doktor tetap menduduki peperiksaan itu meskipun tidak dapat hadir walaupun sehari ke sekolah sepanjang tahun ini.

Semasa di tingkatan satu, dia hanya sempat menghadirkan diri ke sekolah selama satu setengah bulan manakala semasa di tingkatan dua sekadar dua minggu.

Semasa belajar di tahun enam, dia hanya sempat hadir selama sebulan dan meskipun begitu dengan semangat yang tinggi dia mampu memperolehi 1A, 1B dan 3C dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR).

Di Alor Setar, Kedah, seramai lima pelajar terpaksa menduduki PMR di wad Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini kerana sedang menjalani rawatan di hospital itu.

Kesemua mereka termasuk seorang dari Pulau Pinang kelihatan tenang sewaktu menjawab soalan bagi tiga kertas peperiksaan mulai pukul 9 pagi hingga 2 petang.

Mereka adalah Muzammil Azizan dari SMK Sri Ampang Kuala Kedah, Noraini Abdul Razak (SMK Kuala Nerang), Nurul Anis Zakaria (SMK Lubuk Merbau), Nor Amira Muhammad Fisol (SMK Langgar) dan Mohd. Syamil Abdul Hamid (SMK Tun Syed Shahabuddin Pulau Pinang).

- Utusan

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...