Monday, October 03, 2011

Kampus Induk Kumpulan Pendidikan Yayasan Pelajaran Johor (KPYPJ) siap 2013

  NR       Monday, October 03, 2011


ABDUL Ghani Othman melihat Pingat Emas Menteri Besar Johor yang dimenangi oleh Akla Zakwan sambil diperhatikan oleh Abdul Alim Abdul Shukor dan ibu pelajar, Siti Zoyah Othman pada Konvokesyen KPYPJ di Kompleks Islam Iskandar, Johor Bahru, semalam.


JOHOR BAHRU 1 Okt. - Kumpulan Pendidikan Yayasan Pelajaran Johor (KPYPJ) akan memiliki kampus induk baru dengan kos RM52.6 juta di Jalan Kulai-Kota Tinggi, dekat sini yang dijadual siap fasa pertamanya pada 2013.
Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman berkata, kampus di kawasan seluas 12.1 hektar itu mampu menempatkan seramai 2,500 penuntut KPYPJ.

"Kerja-kerja meratakan tanah kini giat dijalankan dan kampus baru ini akan memuatkan dewan kuliah, dewan senat, studio, makmal, kafeteria dan kemudahan riadah.
"Kampus baru ini menekankan ciri-ciri dinamik, progresif dan kondusif dengan aspirasi dan visi KPYPJ untuk melangkah ke dimensi baru," katanya ketika merasmikan Majlis Konvokesyen ke-14 KPYPJ di Dewan Besar Pusat Islam Iskandar di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Pelajaran dan Pengajian Tinggi negeri, Datuk Maulizan Bujang dan Ketua Pegawai Eksekutif KPYPJ, Abdul Alim Abd. Shukor.
Abdul Ghani yang juga Pengerusi Lembaga Pengarah KPYPJ berkata, apabila kampus induk itu siap kelak, kumpulan pendidikan itu mampu memperkenalkan lebih banyak program pada peringkat ijazah.

Beliau berharap, lebih ramai lepasan sekolah akan mengikuti kursus yang ditawarkan KPYPJ untuk menyumbang kepada kepesatan dan pembangunan negeri itu.

"Secara peribadi saya berpuas hati dengan pencapaian KPYPJ pada masa ini baik dari segi pencapaian akademik mahupun program yang ditawarkan dengan lebih 95 peratus daripadanya mendapat akreditasi penuh Agensi Kelayakan Malaysia (MQA)," katanya.

Sementara itu, pemenang Pingat Emas Menteri Besar Johor, Akla Zakwan 22, berkata, tiada sebarang rahsia atau teknik pembelajaran khusus yang diamalkannya.

Penuntut Diploma Teknologi Mekanikal (Lukisan Rekabentuk) itu berkata, setiap penuntut perlu memberi fokus ketika kuliah dan menghormati semua tenaga pengajar.

- Utusan
logoblog

Thanks for reading Kampus Induk Kumpulan Pendidikan Yayasan Pelajaran Johor (KPYPJ) siap 2013

Previous
« Prev Post

No comments: