Wednesday, October 05, 2011

Konvokesyen Ke-6 UMP: 2 graduan terima Anugerah Diraja UMP


HASRUL Reeza Mustaffa (tengah) bersama para penerima anugerah lain gembira selepas majlis Konvokesyen Ke-6 UMP di Gambang, Kuantan, baru-baru ini.


KUANTAN 4 Okt. - Universiti Malaysia Pahang (UMP) mencatat sejarah apabila dua graduannya menerima Anugerah Pelajaran Diraja pada Majlis Konvokesyen Keenam universiti itu di sini, baru-baru ini.

Ini merupakan Anugerah Pelajaran Diraja pertama yang dikurniakan buat penuntut UMP sejak universiti tersebut diwujudkan.

Mereka ialah graduan Ijazah Sarjana Muda Sains Komputer, Hasrul Reeza Mustaffa dan pemegang Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Mekanikal, Mohamad Nazrin Kooy Mohd. Daniel Kooy.

Bagi Hasrul, ia merupakan kali kedua dia menerima anugerah tersebut kerana sebelum ini mendapat anugerah sama semasa mengikuti pengajian peringkat diploma di universiti itu.

Katanya, kejayaan itu adalah hasil daripada dorongan kedua-dua ibu bapanya yang mahu dia berjaya dalam pelajaran.
"Setiap pagi dan petang, bapa akan menghubungi saya untuk memastikan saya ke kuliah supaya tidak ketinggalan dalam mengikuti pengajian.

"Saya merasakan seolah-olah semangat bapa sentiasa ada dalam diri saya untuk berjaya," katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis konvokesyen tersebut di sini.

Pada majlis itu, Canselor UMP, Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah berkenan menyampaikan ijazah dan diploma kepada 1,200 graduan.

Menurut Hasrul, tiada rahsia untuk mencapai kejayaan kecuali sentiasa berusaha untuk menjadi lebih cemerlang.
Anak Penyelia Majlis Bandaraya Ipoh (MBI), Perak itu berkata, penglibatannya dalam aktiviti persatuan di kampus bukan penghalang kepada dirinya kerana paling utama akademik harus diberi perhatian.

- Utusan

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...