Tuesday, October 11, 2011

Permohonan untuk ikuti kursus di ILP Miri dan ILJTM sesi Januari 2012 kini dibuka


MIRI: Jabatan Tenaga Manusia (JTM) semalam mengumumkan pihaknya kini mulai membuka permohonan untuk mengikuti kursus-kursus di Institut Latihan Perindustrian (ILP) Miri dan Institut Latihan Jabatan Tenaga Manusia (ILJTM) yang lain bagi kemasukan sesi Januari 2012.
Pengarah ILP Miri Mohd Faizal Tokeran dalam kenya-taannya kepada Utusan Borneo di sini, semalam memberitahu  kursus-kursus yang ditawarkan secara sepenuh masa dan separuh masa bagi yang sudah atau sedang bekerja.
“Golongan muda terutama lepasan sekolah yang berusia 17 hingga 30 tahun adalah layak untuk memohon sama ada mengikuti program sepenuh masa atau separuh masa, bagi yang sedang bekerja,” katanya.
Katanya, program sepenuh masa yang ditawarkan di ILP Miri membabitkan Teknologi Komputer (Sistem), Teknologi Elektrik, Teknologi Penyejukbekuan & Penyamanan Udara, Teknologi Telekomunikasi, Teknologi Reka Bentuk Produk Industri dan Teknologi Pemasangan Paip Gas.
“Manakala bagi program separuh masa, ia membabitkan Sistem Latihan Dual National (SLDN) dan Program Kerjasama JTM-INSTEP Petronas.
“Di ILP Miri, kami menyediakan pendidikan teknikal yang menekankan 70 peratus pendidikan amali dan 30 peratus lagi teori,” tambahnya.
Pemohon yang berminat boleh membuat permohonan secara online atau mengemaskinikan permohonan mereka bagi yang pernah mengemuka-kan permohonan sebelum ini, menerusi laman web rasmi, www.ilpmiri.gov.my.
Menerusi laman web rasmi terbabit, pemohon boleh mengetahui dengan lebih lanjut kursus yang ditawarkan dan kelayakan yang diperlukan.
Mereka boleh klik pada program dan seterusnya klik pada ‘Borang Permohonan Online Sesi Januari 2012’ bagi mengetahui kelayakan dan mengisi butir-butir untuk permohonan.
Menurut Mohd Faizal lagi, tarikh tutup permohonan pada 24 Oktober ini iaitu hari Isnin.
Sebarang pertanyaan lanjut berhubung permohonan, kemasukan dan sebagainya yang berkaitan, orang ramai boleh menghubungi pegawai-pegawai ILP Khairul Azhar Abdul Rahim, Aslan Salam, Mohd Fuhad Anuar ataupun Saodah Dee di talian 085-655540 pada waktu pejabat.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...