Friday, October 07, 2011

Peruntukan RM51.7j bina 3 sekolah di Kelantan


Sabri Said (tengah) menyerahkan replika kunci kepada Hussian Awang pada Majlis Penyerahan Projek Sekolah Negeri Kelantan di SMK Padang Enggang, Kota Bharu, semalam.


KOTA BHARU 5 Okt. - Pembinaan tiga sekolah baharu berharga RM51.7 juta membuktikan Kerajaan Persekutuan tidak pernah meminggirkan rakyat Kelantan daripada mendapat pendidikan terbaik.

Tiga sekolah tersebut ialah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jias di Pasir Mas yang mempunyai 26 bilik darjah, SMK Padang Enggang (24 bilik darjah) dan SMK Badang di sini (30 buah bilik darjah).

Tujuh buah sekolah lagi dijangka siap menjelang November ini ialah SMK Kubang Kerian 3, SMK Long Gafar 2, SMK Sungai Petai, SMK Panchor Perdana dan SMK Jeli 2.

Setiausaha Bahagian Pembangunan Kementerian Pelajaran, Sabri Said mengingatkan perunding dan kontraktor agar menyiapkan projek tersebut mengikut jadual dan menepati spesifikasi ditetapkan dalam kontrak.

Katanya, pematuhan kepada spesifikasi penting dalam memastikan sekolah terlibat dapat digunakan oleh para pelajar serta guru dengan selamat dan kondusif.

"Secara tidak langsung ia juga dapat mengelakkan daripada sebarang kejadian buruk sekiranya perkara itu tidak dititikberatkan," katanya berucap pada Majlis Penyerahan Projek Sekolah Negeri Kelantan di SMK Padang Enggang di sini hari ini.

Beliau yang menerima replika kunci daripada tiga kontraktor kemudian menyerahkannya kepada Pengarah Pelajaran negeri, Hussian Awang.

Sabri memberitahu, tanggungjawab perunding dan kontraktor adalah memastikan jika terdapat kecacatan pada bangunan seperti bumbung bocor, tandas rosak, sistem perparitan dan kumbahan tidak berfungsi dengan baik, maka kerja-kerja pembaikan perlu dibuat dalam tempoh setahun.

Jika mereka gagal katanya, kementerian akan melantik pihak ketiga untuk membetulkan kecacatan itu dan kos ditanggung oleh kontraktor seperti tercatat dalam perjanjian.

"Kebiasaan yang berlaku ialah apabila projek sekolah diserahkan, keadaan padang sekolah kurang memuaskan dan tidak menepati mutu serta keselamatan untuk digunakan," ujarnya.

- Utusan

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...