Monday, October 10, 2011

Pusat Latihan Petroleum Kimanis Fokus Terminal Minyak & Gas Sabah 2013


MEMBAKUT (Sabah), 9 Okt (Bernama) -- Pusat Latihan Petroleum Kimanis di sini membuka peluang kepada penduduk Sabah, terutama mereka yang tinggal di kawasan pantai barat negeri, melibat diri dalam kerjaya industri minyak dan gas.

Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman (Gambar) berkata pusat latihan yang dikendalikan Petroliam Nasional Bhd (Petronas) dan boleh menampung 50 pelatih itu juga meyakinkan masyarakat tempatan bahawa penglibatan mereka penting dalam membangunkan industri minyak dan gas di Sabah, terutama apabila Terminal Minyak dan Gas Sabah (SOGT) di Kimanis dekat sini, beroperasi sepenuhnya pada 2013.

"Pembangunan pesat sektor minyak dan gas di Sabah hanya mampu dijayakan sekiranya ia disokong oleh tenaga kerja yang berpengetahuan dan berkemahiran tinggi.

"Justeru, program latihan melalui pusat latihan ini merupakan suatu wadah membimbing generasi muda untuk memenuhi keperluan modal insan industri ini," katanya pada majlis perasmian kampus sementara pusat latihan itu di sini Ahad.

Teks ucapan Anifah dibacakan oleh Setiausaha Politiknya Datuk Norhaidi Che Dan.

Anifah, yang juga anggota Parlimen kawasan Kimanis, berkata rakyat Sabah perlu menyedari bahawa peluang yang ditawarkan oleh Petronas itu merupakan peluang untuk membangunkan negeri kelahiran mereka sendiri, sekaligus meningkatkan tahap sosioekonomi masing-masing.

Menurutnya lebih 4,000 pekerja dalam pelbagai bahagian diperlukan di SOGT kelak, yang juga bakal memberi kesan positif terhadap ekonomi masyarakat sekitar.

Sementara itu, Naib Presiden Pengurusan Petroleum Petronas Ramlan A. Malek berkata Petronas mengambil kesempatan memberi latihan kepada belia Sabah dalam bidang minyak dan gas terlebih dahulu sambil menunggu kampus kekal di Kimanis siap pada 2013.

"Pusat latihan ini adalah satu langkah oleh Petronas dalam usaha membangunkan potensi dan mewujudkan kumpulan pekerja mahir dalam kalangan rakyat Sabah yang bakal menyertai dan menyumbang ke arah pembangunan industri minyak dan gas di negeri ini," katanya.

-- BERNAMA

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...