Sunday, October 02, 2011

SMK Pulau Gaya terbakar, 210 pelajar terjejas

  NR       Sunday, October 02, 2011

SEBAHAGIAN pelajar SMK Pulau Gaya memindahkan barang-barang milik sekolah selepas dua buah bangunan sekolah musnah dalam kebakaran pada jam 7.15 malam, semalam. SMK Pulau Gaya mempunyai 23 kelas dengan 638 pelajar dan 49 guru yang bertugas di pulau ini. Foto: Bernama (30/09/2011)


KOTA KINABALU: Sesi pembelajaran seramai 210 pelajar Tingkatan Satu dan Dua di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pulau Gaya, di sini terjejas apabila dua blok sekolah berkenaan musnah dalam kebakaran baru-baru ini.
Dalam kejadian pada Khamis kira-kira jam 7 petang itu, dua blok yang menempatkan empat kelas Tingkatan Satu, tiga kelas Tingkatan Dua selain dua bengkel dan stor penyimpanan buku teks musnah terbakar.
Kejadian yang dipercayai bermula daripada stor penyimpanan buku teks sekolah itu hanya disedari penduduk apabila melihat api mula marak sebelum mereka mendapatkan bantuan kecemasan.
Penolong Penguasa Jabatan Bomba dan Penyelamat Sabah, Mohamad Nor Amit berkata sebaik menerima panggilan berhubung kebakaran itu, pihaknya menghantar 17 anggota bomba ke lokasi berkenaan.
Bagaimanapun, katanya, anggota bomba yang menggunakan bot laju hanya sampai ke sekolah berkenaan pada kira-kira jam 9 malam.
“Kami menghadapi kesukaran untuk membawa peralatan memadam kebakaran menyebabkan kami lewat tiba di lokasi kejadian.
“Sebaik tiba di lokasi itu, kebakaran sudah dapat dikawal dengan bantuan daripada pasukan Polis Gerakan Marin (PGM),” katanya ketika dihubungi, di sini, kelmarin.
Mohamad Nor berkata, pihaknya masih menyiasat punca kebakaran yang dipercayai bermula daripada stor penyimpanan buku teks sekolah berkenaan sebelum merebak ke kelas lain dan menganggarkan kerugian berjumlah kira-kira RM300,000.
Difahamkan, sesi persekolahan pelajar diteruskan seperti biasa dengan menempatkan pelajar Tingkatan Satu dan Dua di dataran perhimpunan sekolah berkenaan.


- Bernama

logoblog

Thanks for reading SMK Pulau Gaya terbakar, 210 pelajar terjejas

Previous
« Prev Post

No comments: