Wednesday, October 05, 2011

Tabung Amanah Bumiputera Ilham Tun Jugah bakal dilancarkan


Abdul Taib Mahmud (kiri) bersama isteri, Ragad Kurdi Taib melihat artikel sejarah dan gambar-gambar Tokoh Negarawan Tun Jugah anak Barieng ketika melawat pameran selepas merasmikan Program Mengenang Tokoh Negarawan itu di Pustaka Negeri Sarawak di sini, semalam.


KUCHING 4 Okt. – Penubuhan Tabung Amanah Bumiputera yang bakal dilancarkan kerajaan negeri dalam masa terdekat diilhamkan daripada cadangan yang pernah disuarakan oleh pengasas parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), mendiang Tun Jugah Barieng.

Ketua Menteri, Tan Sri Abdul Taib Mahmud berkata, mendiang pernah mencadangkan agar sebahagian royalti balak disalurkan ke tabung khas bagi membolehkan anak tempatan menggunakannya untuk menyambung pelajaran.
“Tabung itu menjadi asas kepada Tabung Amanah Bumiputera yang akan kita lancarkan tidak lama lagi bagi membantu bumiputera melanjutkan pelajaran, khususnya dalam bidang teknikal,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Mengenang Tokoh Negarawan: Tun Jugah yang turut dihadiri isterinya, Puan Sri Ragad Kurdi Taib dan Timbalan Ketua Menteri, Tan Sri Alfred Jabu Numpang di sini, hari ini.
Program yang julung kali diadakan di Sarawak itu dianjurkan bersama Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Arkib Negara, Pustaka Negeri Sarawak dan Yayasan Tun Jugah.

Mengulas lanjut, Abdul Taib berkata, jasa mendiang terlalu besar dan akan tetap dikenang oleh masyarakat negeri ini.
Menyifatkan mendiang sebagai ‘hero teragung’, beliau juga akan memastikan perjuangan Jugah dalam menjadikan Sarawak sebagai sebuah negeri yang maju dan makmur akan diteruskan dari semasa ke semasa.

“Mendiang seorang yang berpandangan jauh kerana berjaya menyatukan masyarakat bumiputera dan membawa mereka keluar daripada kepompong kemiskinan dengan kebijaksanaan walaupun tidak pernah mendapat pendidikan formal,” katanya.

Dilahirkan di Ulu Kapit pada 1903, Jugah merupakan salah seorang wakil Sarawak yang menandatangani Perjanjian Penubuhan Malaysia di London pada 9 Julai 1963.

Mendiang merupakan pemimpin negeri pertama dilantik sebagai menteri dalam Kabinet Persekutuan dengan memegang jawatan Menteri Hal Ehwal Sarawak selama dua penggal.

Beliau meninggal dunia pada 8 Julai 1981 di Hospital Umum Sarawak ketika berusia 78 tahun.

- Utusan

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...