Wednesday, October 05, 2011

Universiti Malaysia Sabah bermatlamat jadi universiti penyelidikan diiktiraf dunia 2015


PARA siswa dan siswi baru Universiti Malaysia Sabah melafazkan Ikral Aku Janji di hadapan Ketua Menteri Sabah ,Datuk Seri Musa Aman di Dewan Canselor UMS Kota Kinabalu baru-baru ini.


KOTA KINABALU 4 Okt. - Universiti Malaysia Sabah (UMS) sedia membantu Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) mencapai sasaran sekurang-kurang enam universiti di negara ini menjadi salah sebuah universiti penyelidikan yang diiktiraf dunia menjelang 2015.


Naib Canselornya, Prof. Datuk Dr. Kamaruzaman Ampon berkata, usaha bagi mencapai sasaran itu adalah tidak mustahil untuk dilaksanakan kerana UMS sendiri telah menunjukkan peningkatan dalam program penyelidikan menerusi kejayaan meraih anugerah dalam pelbagai pertandingan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.
"Kita sedang berusaha melangkah setapak demi setapak ke arah pintu gerbang pengiktirafan sebagai sebuah universiti penyelidikan di negara ini.

"Jika kita lihat kedudukan 20 universiti teratas di seluruh dunia, pendidikan bukanlah dimonopoli oleh pihak tertentu sahaja, malah sesiapa sahaja boleh cemerlang jika ada kesanggupan untuk bekerja keras menuntut ilmu.
"Antara kriteria yang diambil kira oleh panel penilaian dalam meletakkan kedudukan universiti ini adalah penilaian rakan sejawat ataupun 'peer review', hasil penyelidikan yang dilaksanakan, prestasi universiti seperti kadar bilangan pelajar dengan kakitangan di samping penilaian terhadap program pengantarabangsaan yang meliputi bilangan pelajar dan kakitangan akademik dari luar," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Ikrar Pelajar Baru Pasca Siswazah dan Amanat Naib Canselor Sesi 2011/2012 di Dewan Canselor, baru-baru ini.

Hadir sama Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) Prof. Dr. Amran Ahmed; Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) Prof. Dr. Mohd. Harun Abdullah; Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Prof. Madya Dr. Kassim Md. Mansur dan Dekan Pusat Pengajian Pascasiswazah, Prof. Madya Datin Dr. Marian Abd. Latif.

Kamaruzaman berkata, jika dilihat pada era masa kini, ekonomi negara sedang berubah ke arah ekonomi yang dipacu oleh sektor perkhidmatan.

Justeru itu, beliau menyeru kepada pusat pengajian pascasiswazah supaya mempelbagaikan program yang sesuai dengan kehendak dan keperluan negara.

"Saya percaya, dengan adanya program-program baru ini, ia secara tidak langsung dapat meningkatkan bilangan kemasukan pelajar di universiti ini. Selain itu, pusat pengajian pascasiswazah harus lebih proaktif dalam mempromosikan program-program yang ditawarkan di dalam dan luar negara," ujarnya.

Menurut beliau, bidang pendidikan merupakan satu daripada pemacu yang paling kritikal untuk mentransformasikan negara daripada berpendapatan sederhana kepada berpendapatan tinggi kerana impaknya yang besar ke atas produktiviti dan pembangunan modal insan.

Beliau berkata, pendidikan juga dengan sendirinya mampu menjadi katalis pembangunan sesebuah negara.
Sebagai contohnya, katanya, sektor pendidikan menyumbang kirakira RM27 bilion atau empat peratus daripada Pendapatan Negara Kasar (PNK) Malaysia iaitu sebanyak RM23 bilion adalah daripada perkhidmatan pembiayaan pendidikan oleh kerajaan.

- Utusan

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...