Monday, November 21, 2011

10,000 Pelajar Malaysia di Mesir Bimbang Rusuhan

KUALA LUMPUR – Para pelajar Malaysia di Mesir dilanda kebimbangan ekoran kekacauan yang berterusan di ibu kota negara berkenaan ekoran rusuhan melibatkan penunjuk perasaan di Dataran Tahrir, Kaherah sejak kelmarin.


Wakil pelajar, Muhammar Amin Abdul Yasin, 24, berkata, pelajar Malaysia kini berada dalam keadaan bersiap sedia untuk menghadapi kemungkinan konflik lebih teruk berlaku di negara berkenaan dalam tempoh terdekat.
“Kedutaan Malaysia juga telah mengeluarkan pekeliling kepada pelajar Malaysia di sini (Mesir) supaya sentiasa berjaga-jaga terhadap keselamatan diri dan ketika ini terdapat kira-kira 10,000 pelajar Malaysia di Kaherah serta 1,400 di Mansoura.
“Kami juga diminta tidak keluar lewat malam, tidak menghampiri kawasan pilihan raya serta tempat perkumpulan orang ramai dan dilarang menyertai sebarang perhimpunan,” katanya ketika di hubungi Kosmo! di sini semalam.
Muhammar Amin yang merupakan pelajar tahun enam jurusan perubatan Universiti Mansoura berkata, dia dan teman-teman masih mengikuti kelas di universiti seperti biasa tetapi bimbang konflik itu jika berlanjutan akan menjejaskan kuliah mereka.
Menurutnya, kekecohan berlaku kerana rakyat Mesir mendesak tentera negara itu mengumumkan tarikh penyerahan kuasa kepada kerajaan baru.
Sehubungan itu, katanya, para pelajar Malaysia di Mesir memohon kerajaan Malaysia membantu mereka jika keadaan politik bertambah teruk di negara tersebut.
Sementara itu, ibu kepada seorang pelajar Malaysia di Mesir, Fauziah Mahat, 49, berkata, beliau berasa bimbang dengan keadaan anak perempuannya ekoran kekecohan yang berlaku.
Anaknya, Aini Sakinah Noor Azman, 22, melalui panggilan telefon kelmarin memberitahu dia sering melihat kereta kebal berkeliaran di merata tempat di Mansoura dan situasi itu turut berlaku di Kaherah.
“Saya sempat berpesan kepada Aini supaya beli makanan secukupnya dan tidak keluar dari rumah jika keadaan bertambah tegang,” katanya.
- Kosmo

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...