Monday, November 21, 2011

500 penduduk, pelatih PLKN jayakan K1MB


PASIR MAS 19 Nov. - Lebih 500 penduduk serta pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) Kem Cancun Park Pasir Mas 'bermandi peluh' menjayakan Program Khidmat Masyarakat Komuniti 1Malaysia Belukar (K1MB) di Kampung Belukar dekat sini semalam.

Pengerusinya, Azahari Ismail berkata, program tersebut melibatkan aktiviti gotong-royong, lawatan ke rumah warga emas dan orang kurang upaya (OKU), lawatan ke wad Hospital Pasir Mas serta pesta sukan rakyat.

Menurutnya, walaupun ini kali pertama program itu diadakan di kampung tersebut, namun sambutan dan sokongan yang diberikan oleh penduduk cukup menggalakkan.

"Saya mewakili penduduk kampung bangga kerana pihak kem sudi memilih kawasan ini untuk mengadakan program kemasyarakatan.

"Melalui program sebegini diharapkan kerjasama antara penduduk dengan pihak Kem Cancun Park bertambah erat selepas ini," katanya pada majlis itu.

Perasmian majlis tersebut disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Pasir, Abdul Aziz Muhammad.

Turut hadir, Komandan Kem PLKN Cancun Park, Kolonel Zahari Harun.

Sementara itu, seorang penduduk, Ishak Muhammad, 42, menyambut baik penganjuran program tersebut kerana ia mampu mengeratkan hubungan masyarakat setempat dengan pelatih PLKN di kem berkenaan.

"Saya harap program sebegini akan diteruskan pada masa akan datang," katanya.

- Utusan

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...