Saturday, November 19, 2011

Anak Kepada Ibu Tunggal Tukang Jahit Dapat 5A



Pelajar SK Pekan Putatan, Mohd. Zulheem Hamzah (kiri) menunjukkan keputusan UPSR 5A kepada ibunya Kasmirah Jaafar,51, di sekolah itu, semalam.
KOTA KINABALU 18 Nov. - Pengorbanan seorang ibu tunggal, Kasmirah Jaafar, 51, yang menyara lima anaknya dengan mengambil upah menjahit baju ternyata berbaloi apabila anak bongsunya mendapat keputusan 5A dalam peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) tahun ini.

Anak Kasmirah, Mohd. Zulheem Hamzah merupakan salah seorang daripada lapan murid Sekolah Kebangsaan (SK) Pekan Putatan yang memperolehi keputusan cemerlang itu.

''Saya gembira dengan kejayaannya. Alhamdulillah, dengan rezeki daripada upah menjahit baju, lima anak-anak saya telah berjaya dalam pelajaran," katanya ketika ditemui di SK Pekan Putatan dekat sini semalam.

Sementara itu, Zulheem berkata, semua ini adalah hasil ketabahan ibu mereka kerana banyak memberi sokongan tidak terhingga dalam membantunya berjaya dalam pelajaran.

''Ketabahan ibu menjaga kami memberi saya inspirasi untuk belajar bersungguh-sungguh. Saya juga mahu mengikut jejak langkah abang dan kakaknya yang cemerlang dalam pelajaran dan kini menuntut di universiti luar negara.

''Saya amat bertuah mempunyai ibu yang amat menyayangi dan menjaga kami meskipun dia hanya berkerja sebagai tukang jahit sahaja," katanya.

Dalam pada itu, Guru Besar SK Pekan Putatan, Abu Kassim Binsin berkata, sekolah itu mencatatkan peningkatan dalam keputusan UPSR tahun ini apabila seramai lapan muridnya mendapat 5A berbanding hanya satu pada tahun lepas.

Menurutnya, peningkatan pencapaian dalam UPSR itu berkait rapat dengan program 3Q (Kuantiti, Kelayakan dan Kualiti) yang diilhamkan oleh pihak sekolah bertujuan mengasah pembelajaran murid-murid menghadapi peperiksaan berkenaan.

- Utusan

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...