Saturday, November 19, 2011

Anak Petani, Nelayan di Kawasan Pantai Merdeka Cemerlang UPSR


SHAHANIM Mohd. Yusof (dua dari kanan) meneliti keputusan cemerlang UPSR 2011 yang diperoleh murid pada majlis penyampaian basikal di SK Kota Kuala Muda, Sungai Petani, Kedah, kelmarin.




SUNGAI PETANI 18 Nov. - Sekolah luar bandar perlu diberi lebih tumpuan oleh kerajaan memandangkan para pelajarnya berpotensi tinggi untuk berjaya pada masa akan datang.

Naib Ketua Puteri UMNO, Shahanim Mohd. Yusof berkata, walaupun keputusan peperiksaan peringkat awal yang dicapai mungkin kurang cemerlang, namun menerusi perhatian khusus oleh semua pihak, kumpulan pelajar itu diyakini mampu memperoleh kejayaan kelak.

"Mereka hidup dalam serba kekurangan, malah sikap dan pemikiran juga tidak sama dengan pelajar di bandar.

"Kalau langsung tidak diberikan tumpuan, kita khuatir mereka akan tercicir daripada arus pendidikan. Oleh itu, adalah menjadi tanggungjawab semua pihak untuk bekerjasama menghulurkan sumbangan sewajarnya bagi membantu memastikan mereka berjaya dan menjadi insan berguna kepada negara," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan sumbangan basikal dan wang saguhati kepada 14 murid Sekolah Kebangsaan (SK) Kota Kuala Muda yang memperoleh 5A dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2011 yang diumumkan semalam.

Shahanim yang juga Ketua UMNO Bahagian Sungai Petani turut meminta badan-badan korporat dan sukarelawan memperbanyakkan program bercorak akademik seperti tuisyen percuma kepada para pelajar di luar bandar.

Katanya, dengan cara itu akses kepada pendidikan di luar bandar akan menjadi lebih baik malah setanding dengan rakan-rakan mereka di bandar.

Dalam pada itu, beliau bangga dengan murid dari sekitar kawasan Pantai Merdeka yang kebanyakannya merupakan anak pesawah dan nelayan kerana mampu meraih kejayaan cemerlang dalam UPSR.

Katanya, mereka adalah calon dari Sekolah Kebangsaan (SK) Kota Kuala Muda, SK Rantau Panjang, SK Teluk Wang, SK Pantai Prai, SK Sri Kuala, SK Bukit Meriam, SK Haji Sulaiman dan SK Bukit Kechil.

Tambahnya, kejayaan yang diperoleh murid sekolah itu membuktikan bahawa sekolah luar bandar juga setanding dengan sekolah berasrama penuh dan ternama di bandar.

"Saya bangga dan mengucapkan tahniah atas pencapaian cemerlang ini. Mereka adalah anak-anak petani dan nelayan yang mampu membuktikan kekurangan bukan menjadi penghalang untuk berjaya," jelasnya.

- Utusan

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...