Tuesday, November 22, 2011

Jurutera Elektrik Terkejut Diminta Bayar Hutang PTPTN


GEORGE TOWN – Seorang jurutera elektrik terkejut apabila dituntut supaya melunaskan pinjaman Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) sebanyak RM4,320 walaupun beliau tidak pernah membuat pinjaman dari tabung pendidikan itu.
Loo Guay Hong, 33, berkata, beliau tidak pernah meminjam dengan tabung itu kerana mendapat tajaan biasiswa Tun Tan Cheng Lock sepanjang tiga tahun pengajiannya di Universiti Putra Malaysia (UPM) hampir 10 tahun lepas.
“Saya memang pernah membuat permohonan untuk pinjaman PTPTN tetapi membatalkannya setelah mendapat tajaan biasiswa,” katanya kepada pemberita selepas membuat aduan di Pejabat MCA di sini hari ini.
Katanya, beliau telah menghantar surat pembatalan pinjaman PTPTN melalui pengurusan universiti kerana enggan berhutang dengan tabung itu dari semester pertama lagi.
Beliau bagaimanapun hanya menyedari kononnya masih berhutang dengan PTPTN apabila dihalang oleh Jabatan Imigresen ketika ingin berlepas ke New Zealand pada 23 Oktober lepas atas alasan mempunyai rekod senarai hitam kerana berhutang dengan kerajaan.
Guay Hong berkata, apa yang menghairankannya ialah sejak menamatkan pengajian pada tahun 2002, beliau tidak pernah menerima sebarang surat mengenai tunggakan hutang daripada PTPTN yang dihantar ke alamat kolej pengajiannya.
“Sebelum ini, saya sering ke luar negara atas urusan kerja dan tidak pernah mempunyai sebarang masalah,” katanya.
Beliau kemudian menghubungi PTPTN dan terkejut apabila diminta membayar hutang dengan pendahuluan sebanyak RM1,000 untuk membersihkan namanya daripada disenaraihitam oleh kerajaan.
“Saya juga diminta membayar RM100 setiap bulan sehingga jumlah penuh pinjaman diselesaikan,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Ketua Biro Pengaduan Awam MCA Pulau Pinang, Lim Thoon Deong berkata, pihaknya telah meminta maklum balas dari pihak PTPTN dan UPM berhubung perkara ini.
“Berdasarkan rekod bahagian akaun di unit bendahari UPM, semua yuran pengajian yang dijelaskan oleh Guay Hong tidak pernah dibiayai oleh PTPTN,” katanya. – BERNAMA

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...