Monday, November 21, 2011

Lepasan Institut Teknologi Petroleum Petronas (Instep) Bangunkan Industri Gas, Petroleum

KUALA TERENGGANU 20 Nov.- Institut Teknologi Petroleum Petronas (Instep) di Batu Rakit dekat sini berjaya melahirkan ramai tenaga pakar sekali gus menyumbang kepada pembangunan industri gas dan petroleum negara dan global.

Sejak diwujudkan pada 1981, institusi itu menghasilkan mahasiswa cemerlang sehingga mencuri perhatian pelbagai syarikat gergasi asing petroleum termasuk Shell, ExxonMobil, Schlumberger dan Yokogawa.

Naib Presiden Pengurusan Sumber Manusia Petronas, Juniwati Rahmat Hussin mengakui lepasan Instep laris di pasaran dan mendapat tawaran banyak syarikat petroleum selain Petronas.

Beliau memberitahu, perkembangan itu bersesuaian dengan peranan Petronas menerusi Instep yang diwujudkan bagi melahirkan tenaga pakar dalam bidang tersebut untuk membangunkan industri gas dan petroleum.

"Kita bukan sahaja melatih mereka untuk bekerja dengan Petronas, sebaliknya membantu membangunkan industri gas dan petroleum negara dengan menyertai syarikat gergasi lain.

"Kita juga melatih ramai juruteknik asing seperti dari Sudan, Iraq, Turkmenistan, Myanmar dan Vietnam. Ini membuktikan kita mendapat pengiktirafan dunia," katanya selepas majlis konvokesyen Instep di Batu Rakit dekat sini, hari ini.

Turut hadir, Ketua Pendidikan dan Pembelajaran, Bahagian Sumber Manusia Petronas, Khairul Azman Yasin; Pengurus Besar Unit Perbendaharaan Petronas, Liza Mustapha dan Ketua Eksekutif Instep, Wan Azhar Lotfi Wan Yusof.

Pada konvokesyen itu, seramai 230 graduan menerima sijil masing-masing yang disampaikan oleh Juniwati.

Beliau tidak menolak kemungkinan ramai graduan cemerlang kelahiran Instep telah berkhidmat dengan syarikat petroleum lain setelah mendapat tawaran gaji lebih lumayan.

Menurutnya, Petronas buat masa ini belum bercadang membuat tawaran gaji yang sama dengan syarikat lain dalam usaha menyekat penularan ramai lepasan Instep ke syarikat gergasi lain.

Pada masa sama, kata Juniwati, pihaknya mempelawa syarikat petroleum asing untuk menghantar kakitangan mereka mendapat latihan kepakaran di Insptep pada masa akan datang.

- Utusan

No comments: