Monday, November 21, 2011

Peruntukan RM40 Juta Program 1Azam Langkah Kerajaan Basmi Kemiskinan



BERUSAHA DAN BERDIKARILAH: Michael (tiga kiri) menyampaikan sijil dan peralatan kimpalan kepada Chundi Salleh (kiri) yang merupakan salah seorang peserta 1Azam, sambil disaksi Mohd Azim (dua kiri) dan Mohd Azhar.
SARIKEI: Program 1Azam yang melibatkan peruntukan sebanyak RM40 juta merupakan langkah penting kerajaan untuk membasmi kemiskinan tegar dan masalah rakyat mudah miskin.

Residen Bahagian Sarikei, Michael Dawi Alli berkata, program ini terbahagi kepada empat bahagian iaitu Azam Tani, Azam Niaga, Azam Kerja dan Azam Khidmat.

“Semua projek ini memberikan tumpuan kepada pembangunan projek-projek ekonomi yang dijangkakan mampu melonjak dan menjana pendapatan isi rumah atau golongan sasaran sekali gus membebaskan mereka daripada belenggu kemiskinan.

“Pada tahun 2010, program ini telah memberikan tumpuan dan menyasarkan pembangunan kepada Ketua Isi Rumah (KIR), tetapi pada tahun ini hingga 2012, ia telah memberikan tumpuan kepada golongan miskin dan mudah miskin,” kata Micheal.

Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan Majlis Penutupan Program 1Azam yang berlangsung di GIATMARA Sarikei, semalam.

Michael berkata, penglibatan GIATMARA dalam usaha dan kesediaan untuk menyumbang tenaga dan idea memastikan Program Pembasmian Kemiskinan berjaya membantu golongan sasar keluar daripada kepompong kemiskinan dan seterusnya menikmati kehidupan yang lebih baik dan sempurna.

“Bagi para pesertanya pula, kita berharap selepas mereka mendapat pengetahuan dan ilmu melalui program ini, mereka akan memanfaatkan dengan sebaik mungkin dalam memajukan diri dan keluarga,” katanya.

Menurutnya lagi, dianggarkan peserta yang telah berjaya menamatkan latihan ini akan berupaya meraih pendapatan sekitar RM35 ke RM50 sehari atau RM900 ke RM1,200 sebulan pada peringkat awal dan ini ternyata telah melepasi paras kemiskinan yang ditetapkan untuk negeri Sarawak.

“Kita percaya dengan kesungguhan dan keazaman program 1Azam ini akan berjaya mencapai peratusan kejayaan yang tinggi untuk membantu kerajaan mengurangkan jumlah golongan berstatus miskin dan memperjuangkan hak rakyat untuk menikmati kehidupan lebih selesa.

“Dengan ini, kita berharap para peserta yang telah mendapat kemahiran melalui program ini terus berusaha memperkembangkan kemahiran mereka dengan menggunakan setiap kemudahan yang telah diberikan dan jangan mengamalkan sikap terus bergantung kepada bantuan orang lain pada setiap masa.

“Kita juga berharap peserta yang sudah tamat pengajian melalui program ini bukan hanya mampu untuk melakukan kebaikan dari aspek saraan hidup tetapi turut mencari keuntungan dan seterusnya berkembang maju,” ujar Michael lagi.

Majlis ini diadakan bertujuan untuk menyampaikan sijil dan peralatan kepada 29 orang peserta Program 1Azam Sarikei Fasa 5 berdasarkan kursus yang diikuti mereka pada sepanjang kursus ini diadakan di GIATMARA Sarikei.

Turut hadir, Pengurus GIATMARA Cawangan Kota Samarahan Mohd Azhar wakil kepada Pengurus Besar GIATMARA Negeri Sarawak Rakawi Nawi dan Pengurus GIATMARA Cawangan Sarikei Mohd Azim Edeuard Abdullah.

- UB

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...