Sunday, November 20, 2011

Rakyat Singapura Bunuh Anak Tiri Berusia 7 Tahun Dhukum Gantung


JOHOR BAHRU 18 Nov. - Seorang lelaki rakyat Singapura dihukum gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini, selepas didapati bersalah membunuh anak tirinya yang berusia tujuh tahun dengan mendera mangsa termasuk membakar alat sulit kanak-kanak itu menggunakan pemetik api, hampir tiga tahun lalu.

Pesuruhjaya Kehakiman, Samsudin Hassan menjatuhkan hukuman itu terhadap Shawal Senin selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap pertuduhan ke atasnya.

Shawal, 35, didakwa dengan niat menyebabkan kematian Siwakorn Sukuntha yang merupakan rakyat Thailand di rumah beralamat 08-04 Blok A, Kondominium Pulai View, Taman Kobena, Tampoi di sini antara pukul 9 malam, 24 Disember 2008 dan 1 petang, 27 Disember 2008.

Mengikut fakta kes, mangsa dipukul oleh tertuduh menggunakan penyangkut baju, tukul dan wayar selain membakar alat sulit mangsa dengan pemetik api.

Dia yang tidak bekerja ditahan polis pada 28 Disember 2008 dan didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya, Jasmee Hameeza Jaafar dan Farah Ezlin Yusop Khan manakala tertuduh diwakili peguam bela, Amy Law.

Sepanjang perbicaraan, 11 saksi pendakwaan dan dua saksi pembelaan termasuk tertuduh sendiri telah dipanggil memberi keterangan.

- Utusan

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...