Saturday, November 19, 2011

RM2.9 Juta Bantuan Persekolahan RM100 Kepada 29,000 Pelajar Parlimen Bachok

BACHOK 18 Nov. - Kerajaan Persekutuan memperuntukkan sebanyak RM2.9 juta bagi menyalurkan bantuan persekolahan sebanyak RM100 kepada 29,000 pelajar dalam Parlimen Bachok.

Timbalan Ketua UMNO Bahagian Bachok, Datuk Dr. Ilias Husain berkata, bagi pelajar dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Jelawat sahaja, sebanyak RM568,800 diperuntukkan kepada 5,680 pelajar.

"Pengagihan bantuan ini dilaksanakan secara berperingkat dalam masa seminggu. Saya harap peruntukan yang diberikan ini tidak akan disalahgunakan oleh ibu bapa untuk perbelanjaan lain kecuali untuk persekolahan anak-anak," katanya.

Beliau ditemui selepas majlis penyampaian bantuan persekolahan RM100 kepada pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tok Bachok di kawasan DUN Jelawat hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau yang juga Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SMKA Tok Bachok berkata, ibu bapa berhak untuk tidak membenarkan pihak sekolah memotong wang bantuan persekolahan tersebut dengan alasan mahu disalurkan ke tabung PIBG.

Ilias berkata, sebagai sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO), PIBG sebenarnya boleh mendapatkan sumbangan daripada pihak lain termasuk kerajaan untuk melaksanakan pelbagai aktiviti dirancang.

Beliau berkata, tindakan memotong wang bantuan persekolahan itu dibimbangi akan menjejaskan matlamat pemberian bantuan itu bagi meringankan bebanan kewangan kumpulan sasar.

"Pemotongan yang dibuat oleh pengurusan sekolah mungkin disebabkan terdapat baki hutang derma PIBG atau peralatan pembelajaran yang dibekalkan. Pastinya mereka mempunyai masalah tersendiri yang perlu diambil perhatian oleh pihak pengurusan sekolah untuk diselesaikan.

"Bantuan yang disalurkan kerajaan Persekutuan kepada pelajar secara telus dan adil dengan mengetepikan fahaman politik ibu bapa untuk membeli sedikit keperluan persekolahan musim depan sama sekali tidak boleh dijadikan sumber untuk melunaskan hutang sekolah," katanya.

Ilias berkata, masalah hutang sekolah yang tertunggak seharusnya dibincangkan secara terperinci oleh pentadbiran sekolah dengan ibu bapa terbabit tanpa memperalatkan PIBG bagi tujuan berkenaan.

- Utusan

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...