Thursday, November 17, 2011

Sekolah pertama terima RM100


KOTA BHARU 16 Nov. - Wang sumbangan bantuan awal persekolahan sebanyak RM100 kepada setiap murid sekolah rendah yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semasa pembentangan Bajet 2012 di Parlimen bulan lalu mula dinikmati di negeri ini, semalam.

Seramai 344 murid daripada keluarga miskin di Sekolah Kebangsaan Padang Kala, Peringat di sini menjadi penerima pertama wang tersebut yang disampaikan oleh Ketua UMNO Bahagian Ketereh, Tan Sri Annuar Musa.

Annuar ketika ditemui selepas menyampaikan sumbangan tersebut berkata, penyerahan wang itu menandakan kerajaan menunaikan apa yang telah dijanjikan sebelum ini dan membuktikan bahawa kerajaan peka kepada kebajikan rakyat.
"Sebanyak RM34,400 wang tersebut diagihkan hari ini. Banyak lagi sekolah akan menerima wang ini kerana ia telah dijanjikan sebelum ini kepada rakyat.

"Asalnya wang ini terdapat dalam Bajet 2012 tetapi kita memikirkan balik lebih baik ia diberi awal-awal sebelum tamat sesi persekolahan tahun ini," katanya selepas Majlis Sumbangan Bantuan Awal Persekolahan di Sekolah Kebangsaan Padang Kala di sini petang semalam.

Sementara itu seorang penerima, Nur Fatihah Izzati Faizal Azman, 12, ketika ditemui gembira dengan pemberian sumbangan daripada kerajaan itu.

"Saya mahu beli alat tulis, pakaian dan kasut sekolah baru. Hari ini dapat RM100 jadi mesti cukup untuk belanja barang-barang sekolah bagi sesi persekolahan tahun depan," katanya.

Rakannya, Nur Haslinda Abdul Manaf, 12, turut bersyukur kerana bantuan tersebut mampu mengurangkan beban untuk ibu bapanya membeli kelengkapan sekolahnya.

"Terima kasih banyak-banyak kepada kerajaan. Saya sebelum ini tidak pernah menerima apa-apa sumbangan atau pun biasiswa jadi bila tahu akan dapat duit saya sangat gembira.

"Bolehlah kurang sikit perbelanjaan untuk beli peralatan sekolah terutama alat tulis dan pakaian," katanya.

- Utusan

No comments: