Saturday, November 19, 2011

SK Kamil (3), Diumum Sekolah Luar Bandar Terbaik di Kelantan


Sebahagian murid SK Kamil (3) yang menperoleh 5A dalam UPSR 2011 meraikan kejayaan berkenaan selepas diumumkan sebagai Sekolah Luar Bandar Terbaik peringkat negeri Kelantan di Pasir Puteh, kelmarin.


PASIR PUTEH 18 Nov. - Pengorbanan ikhlas guru-guru Sekolah Kebangsaan (SK) Kamil (3) di sini membuahkan hasil apabila sekolah tersebut muncul Sekolah Luar Bandar terbaik di negeri ini dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2011 yang diumumkan semalam.

Guru Besarnya, Md. Nawi Ismail berkata, kesepakatan 32 guru yang gigih mengajar sama ada pada waktu persekolahan, kelas tambahan malam dan hujung minggu terutama melibatkan mata pelajaran kritikal seperti bahasa Inggeris dan Matematik, membantu sekolah mencapai kecemerlangan itu.

Beliau berkata, ini merupakan kali pertama sekolah berkenaan mencapai kecemerlangan tersebut selepas ditubuhkan 21 tahun lalu.

"Tahun lepas pencapaian Gred Purata Sekolah ialah 1.82 membabitkan calon UPSR seramai 81 orang dengan 18 orang mendapat kecemerlangan 5A.

"Hasil usaha dan keberkatan guru yang berkhidmat tanpa mengira waktu menjurus kepada pencapaian 69 calon UPSR dengan kelulusan am seratu peratus, gred purata sekolah sebanyak 1.25 dan kecemerlangan 5A dalam UPSR melibatkan 27 orang murid," katanya ketika ditemui di sini semalam.

Md. Nawi berkata, pihak pengurusan sekolah amat terharu dengan kejayaan tersebut mengambil kira pengorbanan guru-guru yang sanggup mengorbankan masa hujung minggu bersama keluarga sejak tahun lalu lagi, semata-mata untuk memastikan anak murid mereka mencapai kejayaan.

Sementara itu, salah seorang murid cemerlang, Nik Saifuddin Nik Nasri, 12, berkata, bimbingan guru-guru dan usaha gigihnya mengulang kaji pelajaran di rumah membolehkannya mendapat 5A dalam UPSR.

"Formula utama dalam mendapatkan keberkatan ialah tidak meninggalkan sembahyang lima waktu, hormat ibu bapa dan berzikir untuk mensucikan hati dan minda.

''Kejayaan ini adalah hadiah buat ibu bapa dan semua guru yang mendidik saya dari tahun satu hingga tahun enam di sekolah ini," katanya.

Nik Saifuddin adalah anak kelima daripada lima beradik berkata, kejayaan tiga abangnya iaitu Nik Mohd. Shamsudin Nik Nasri, 22; Nik Nasirudin, 21, dan Nik Nizamudin, 20, yang kesemuanya belajar di universiti tempatan turut menjadi idola kepadanya mengejar kecemerlangan dalam pelajaran.

Rakannya, Sharifah Nur Ain Nasywa Syed Rusdan, 12, pula berkata, kejayaan mendapat 5A adalah titik permulaan untuk mencapai cita-citanya sebagai guru dan ia juga hadiah kepada ibu bapanya.

- Utusan

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...