Monday, November 21, 2011

Subjek Teknologi Hijau Akan Diperkenal Dalam Sukatan Pelajaran


MIRI: Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air kini dalam proses bekerjasama dengan Kementerian Pelajaran  untuk memperkenalkan subjek  teknologi hijau dalam sukatan pelajaran.

Menterinya, Datuk Seri Peter Chin berkata, setakat ini kedua-dua kementerian masih mengkaji sama ada untuk melaksanakan sukatan itu di sekolah rendah ataupun sekolah menengah.

Menurut Chin, walaupun sudah ada subjek Alam Manusia, namun teknologi hijau wajar diajar kepada generasi muda untuk mendidik mereka mengenai  isu global seperti perubahan suhu dunia dan pelepasan asap.

“Usaha menangani kesan pelepasan asap dan gas terhadap alam sekitar amat penting. Dengan adanya subjek ini di sekolah, kita dapat meningkatkan kesedaran di kalangan generasi muda untuk sama-sama melindungi alam sekitar daripada pencemaran,” katanya berucap pada majlis makan malam Persatuan Teknologi dan Kejuruteraan (TEA) Kawasan Utara Sarawak di sebuah hotel di sini, malam kelmarin.

Chin memberitahu, langkah memperkenalkan subjek teknologi hijau secara formal ini diharap dapat melahirkan masyarakat yang dapat menjaga alam sekitar sama ada dalam kehidupan harian atau apabila memasuki alam pekerja nanti.

“Kerajaan serius dalam menangani isu berkaitan alam sekitar. Justeru satu daripada cara yang efisien ialah menerusi pendidikan awal di sekolah,” katanya.

Mengenai permohonan peruntukan TEA Cawangan Miri  untuk membiayai siri animasi bagi meningkatkan kesedaran generasi mengenai alam sekitar, Chin berkata kementeriannya akan mempertimbangkan permintaan tersebut.

“Kami akan melihat cara mana untuk menyalurkan peruntukan, walaupun tidak membiayai kesemua 13 siri tersebut, kami mungkin akan beri sebahagian peruntukan,” katanya.

Beliau turut memuji TEA Utara Sarawak yang mengambil inisiatif seumpama ini dalam membantu kerajaan mendidik orang awam betapa pentingnya menjaga alam sekitar.

- UB


No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...