Saturday, November 19, 2011

Yayasan Pendidikan Cheras Rai 217 Murid Cemerlang UPSR 2011


Syed Ali Alhabshee (tengah) dan Mohamad Norza Zakaria bergambar dengan pelajar yang menerima anugerah pada Majlis Anugerah Cemerlang UPSR 2011 dan meraikan juara badminton Remaja Dunia 2011 di Cheras, Kuala Lumpur, semalam.


KUALA LUMPUR 18 Nov. – Sebanyak 217 murid dari 18 sekolah rendah di bawah naungan Yayasan Pendidikan Cheras yang mencatatkan keputusan cemerlang dalam peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2011 diraikan hari ini.

Pelajar-pelajar tersebut diraikan oleh Pengerusi YPC, Datuk Syed Ali Alhabshee di Dewan Pusat Rekreasi Cheras di sini.

Majlis anugerah cemerlang kali ketujuh yang bertujuan mengiktiraf pelajar yang mencapai keputusan 5A itu turut dihadiri Pengarah Jabatan Pelajaran Wilayah Persekutuan, Datuk Khairil Awang dan Presiden Persatuan Badminton Kuala Lumpur, Datuk Mohamad Norza Zakaria.

Penerima anugerah tersebut menerima baucar Bank Simpanan Nasional (BSN) bernilai RM50, hadiah iringan dan sijil penghargaan.

Pada majlis itu, YPC turut menamakan juara badminton remaja dunia, Zulfadli Zulkiffli sebagai penerima Anugerah Ikon YPC yang menerima RM5,000 berserta sijil penghargaan.

Sementara itu, Sekolah Kebangsaan Seri Bintang Utara mendapat tempat pertama dalam kategori sekolah kawalan terbaik diikuti Sekolah Kebangsaan Seri Bintang Selatan di tempat kedua.

Kategori sekolah bukan kawalan dimenangi Sekolah Kebangsaan Jalan Pasar 1 manakala Sekolah Kebangsaan Taman Midah 1 menduduki tempat kedua.

Setiap sekolah yang mendapat tempat pertama memperolehi hadiah wang tunai bernilai RM1,000 dan sijil penghargaan manakala tempat kedua membawa pulang RM750 dan sijil penghargaan.

Seorang penerima, Aiman Hakimi Azmi berkata, anugerah tersebut menyuntik semangat dan motivasinya supaya terus cemerlang pada masa hadapan.

- Utusan

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...