Wednesday, December 28, 2011

Graduan Jurusan Perbankan Indonesia Dihukum Gantung Edar 841.63g Dadah

  NR       Wednesday, December 28, 2011

ALOR SETAR - Seorang graduan dari sebuah universiti di Indonesia menangis teresak-esak, sejurus Mahkamah Tinggi Alor Setar menjatuhkan hukuman mati ke atasnya, setelah didapati bersalah mengedar 841.63 gram dadah.

Maggie Taissya Olyvia, 27, berasal dari Jakarta, dituduh mengedar 656.15 gram heroin dan 185.48 gram monoacetylmorphine kira-kira jam 12.15 tengah hari, 20 September tahun lalu di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (ICQ) Bukit Kayu Hitam.

Graduan jurusan perbankan yang pernah bertugas sebagai pegawai pemasaran di Jakarta itu, dituduh melakukan kesalahan mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, yang boleh dihukum bawah Seksyen 39B(2) akta sama dengan memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Pesuruhjaya Kehakiman, Mohd Zaki Abdul Wahab dalam penghakimannya berkata, ketika keterangan pembelaan, Maggie mengaku mengetahui kewujudan sampul berisi dadah disembunyikan di dalam satu bahagian beg dibawanya, tetapi tidak tahu jenis dadah itu.

Menurutnya, pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah.

“Daripada keterangan pembelaan, mahkamah mendapati tertuduh, sama sekali tidak menyangkal anggapan kewujudan dadah dalam beg malah memperkuatkan lagi, bahawa dia tahu ada dadah dalam beg semasa ditahan.

“Jadi, mahkamah mendapati tertuduh bersalah dan disabitkan dengan kesalahan seperti pertuduhan,” katanya.

Maggie dilihat menangis teresak-esak, selepas hukuman dijatuhkan oleh Mahkamah Tinggi Alor Setar, semalam.

Dia diwakili peguam A J Surinarayanan, manakala pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Nor Shuhada Mohd Yatim.

- SH
logoblog

Thanks for reading Graduan Jurusan Perbankan Indonesia Dihukum Gantung Edar 841.63g Dadah

Previous
« Prev Post

No comments: