Wednesday, December 28, 2011

GSTT SMK Wangsa Melawati Bantu Pelajar Tubuh Kumpulan Orkestra

  NR       Wednesday, December 28, 2011

Mohd. Azmil Mohd. Razman (depan) bersama kumpulan Mailbox dan Treasure Box mengadakan latihan sebagai persediaan untuk mengadakan persembahan amal di Kuala Lumpur, baru-baru ini.




KUALA LUMPUR 25 Dis. - Bekas graduan Royal Melbourne Institute of Technology (RMIT), Australia, Mohd. Azmil Mohd. Razman, 26, bukanlah nama besar dalam industri muzik negara, namun cita-citanya untuk menubuhkan sebuah kumpulan orkestra amat dikagumi.

Hanya bersandarkan pengalamannya sebagai guru muzik sementara di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Wangsa Melawati di sini, hasratnya untuk menubuhkan kumpulan orkestra itu semakin membara apabila berjaya mengesan beberapa pelajar yang berbakat.

''Saya mahu menubuhkan kumpulan orkestra itu kerana mahu membuktikan kepada ibu bapa bahawa bermain alat muzik adalah aktiviti yang baik kerana ia boleh menajamkan minda pelajar dan membentuk disiplin mereka,'' katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui, baru-baru ini.

Pelajar lulusan seni bina itu yang merancang menyambung pengajian peringkat sarjana berkata, hasrat menubuhkan kumpulan orkestra tersebut timbul selepas beliau ditugaskan untuk menguruskan persembahan Konsert 1Malaysia di sekolah berkenaan.

Katanya, setelah menamatkan perkhidmatan sebagai Guru Sandaran Tidak Terlatih (GSTT) di SMK Wangsa Melawati, beliau kemudian dipindahkan ke SMK Taman Setiawangsa di sini.

"Setelah bertugas di tempat baru, saya mengemukakan kertas cadangan untuk menubuhkan kumpulan muzik di sekolah ini.

"Cadangan saya itu diterima baik oleh pihak pengurusan sekolah dan saya mula mengumpulkan beberapa pelajar yang mahir dan minat bermain alat muzik," katanya yang mahir bermain piano, gitar dan dram kerana pernah mengikuti kelas muzik ketika bersekolah dulu.

Beliau yang mengajar subjek Bahasa Melayu, Sains dan Matematik berkata, usaha menubuhkan kumpulan orkestra tersebut menjadi mudah apabila dia mengesan tiga beradik yang mahir bermain alat muzik melalui sesi uji bakat yang diadakan di sekolah berkenaan.

Ekoran itu, katanya, dia menubuhkan kumpulan Mailbox yang turut dianggotai tiga beradik tersebut iaitu Erisyal Haqeem Mohammad Kamil, 17, Sissy Imann, 16, dan Demy Jazmine, 14.

Mohd. Azmil berkata, pada masa yang sama, dia juga mengumpulkan seberapa ramai pelajar yang berminat dengan muzik bagi membentuk sebuah kumpulan orkestra.

"Dalam kelas muzik yang dikendalikan, saya cuba mengasah dan mencungkil bakat pelajar sekolah itu. Ternyata ramai daripada mereka berbakat dan akhirnya seramai 15 pelajar telah dipilih," jelasnya.

Menurutnya, bagi membentuk sebuah kumpulan menyerupai orkestra, anggota Mailbox telah disatukan bersama 15 pelajar lain untuk membentuk sebuah lagi kumpulan iaitu Treasure Box.

Bagaimanapun, jelasnya, impian untuk melihat sebuah orkestra yang lengkap dengan keanggotaan minimum seramai 30 orang, belum dapat direalisasikan.

Katanya, ketiadaan bajet untuk membeli alat muzik adalah kekangan utama yang dihadapinya.

"Disebabkan itu, buat julung kalinya, Treasure Box akan membuat persembahan amal untuk meraih sumbangan bagi memperluaskan usaha ini selain memberi pendedahan kepada pelajar terlibat.

"Wang sumbangan yang diperoleh akan dijana untuk meningkatkan tahap kemahiran pelajar terlibat memandangkan ada antara mereka yang tidak mengetahui perihal muzik tetapi berminat untuk menyelaminya," tambah beliau.

Mereka yang berminat untuk memberi sokongan kepada usaha murni Mohd. Azmil itu boleh mengikuti K-Club Melawati esok.

Mohd. Azmil mengharapkan, persembahan itu berjaya mendapat sambutan ramai dan mampu merealisasikan impian pelajar berkenaan menjadi pemuzik.

- Utusan
logoblog

Thanks for reading GSTT SMK Wangsa Melawati Bantu Pelajar Tubuh Kumpulan Orkestra

Previous
« Prev Post

No comments: