Tuesday, December 13, 2011

Isteri Pendorong Mohd Shahrul Faizie Terima Anugerah Pelajaran Diraja


PUTRAJAYA 3 Dis. - Dorongan isteri memberi semangat kepada Mohd. Shahrul Faizie Zaini untuk berjaya dalam pelajaran sehingga berjaya menerima Anugerah Pelajaran Diraja pada majlis konvokesyen Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) Kesembilan di sini hari ini.

Graduan Ijazah Sarjana Muda Dakwah dan Pengurusan Islam berusia 25 tahun dari Muar, Johor itu menerima anugerah tersebut kerana memperoleh Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.93.

Mohd. Shahrul Faizie yang kehilangan bapa enam tahun lalu menanam semangat untuk belajar bersungguh-sungguh demi mengejar cita-citanya menjadi seorang yang berjaya dan atas usaha itu dia muncul sebagai penerima Anugerah Dekan pada setiap semester sepanjang empat tahun pengajian.

"Kejayaan yang saya capai ini adalah hasil dorongan isteri, Noorsyuhada Mohamed Salleh, ibu, Noriza Othman, keluarga dan tenaga akademik di USIM yang tidak jemu-jemu memberi galakan serta semangat. Kejayaan ini saya hadiahkan khas untuk mereka.

"Walaupun ada yang berkata bahawa sukar untuk membahagikan masa untuk belajar apabila sudah berkahwin, ia tidak akan berlaku selagi kita ikhlas dan komited terhadap sesuatu perkara," katanya ketika ditemui di Dewan Perdana Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).

Dia merupakan salah seorang daripada 1,196 graduan yang menerima ijazah masing-masing dalam majlis berkenaan.
Pada majlis itu, seorang graduan Ijazah Sarjana Muda Fiqh dan Fatwa, Muhamad Firdaus Ab. Rahman turut menerima anugerah tersebut.

Kedua-dua mereka menerima watikah, medal iaitu Pingat Jaya Cemerlang serta wang tunai RM5,000 yang disampaikan oleh Canselor USIM, Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud.

Hadir sama Pengerusi Lembaga Pengarah USIM, Tan Sri Dr. Mohamad Yusof Md. Noor dan Naib Canselor USIM, Profesor Datuk Dr. Muhamad Muda.

Muhamad Firdaus, 25, berkata, kejayaan adik-beradiknya yang lain dalam pelbagai bidang kritikal seperti perubatan merupakan cabaran kepadanya untuk membuktikan bahawa graduan pengajian agama juga mampu bersaing dalam arus pembangunan negara.

"Saya merupakan anak kesembilan daripada 11 beradik dan hanya saya seorang memilih bidang pengajian agama. Alhamdulillah, berkat sokongan daripada ibu bapa dan keluarga, saya berjaya menamatkan pengajian ini dengan cemerlang," katanya.

- Utusan

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...