Friday, December 30, 2011

Konsep Maya Akan Diperkenal KPM di Sekolah 2 Tahun Lagi

  NR       Friday, December 30, 2011

KUALA LUMPUR: Ibu bapa boleh mengikuti perkembangan pelajaran anak-anak mereka menerusi konsep maya yang akan diperkenalkan Kementerian Pelajaran di sekolah-sekolah dalam dua tahun lagi, kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin. 



Beliau berkata konsep itu, yang akan dilaksanakan sebagai projek rintis di beberapa sekolah mulai tahun depan, antara lain membolehkan ibu bapa berinteraksi dengan pihak sekolah menerusi persidangan video.

Projek rintis itu akan dikenali sebagai "Virtual Learning" atau Pembelajaran Maya, katanya dan menurutnya konsep itu dicontohi daripada konsep yang diamalkan di negara maju seperti Korea Selatan.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, ibu bapa boleh mengetahui maklumat lanjut mengenai prestasi pelajaran anak mereka dengan berhubung terus dengan guru-guru menerusi Internet. 


"Berdasarkan maklumat ini, ibu bapa boleh terus mendapatkan nasihat guru berdasarkan capaian prestasi pelajar," katanya kepada pemberita selepas melakukan lawatan mengejut di Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Tun Dr Ismail di sini, hari ini. 

Dalam lawatannya ke Korea Selatan pada Julai tahun lalu, Muhyiddin turut meninjau sistem pendidikan menggunakan teknologi maklumat dan komunikasi negara itu, National Education Information System (NEIS), yang membangunkan jaringan komputer untuk menghubungkan semua sekolah. 

Jaringan itu membolehkan ibu bapa memantau perkembangan anak-anak di sekolah serta berhubungan dengan guru menerusi internet. 

Terdahulu, dalam ucapannya kepada guru dan ibu bapa di sekolah itu, Muhyiddin berkata, ibu bapa perlu membabitkan diri dalam sistem sekolah anak-anak mereka kerana sudah dibuktikan di dalam negara ini, penglibatan ibu bapa banyak membantu pelajar dan sekolah itu sendiri berjaya. 

"Di banyak negara yang dilawati, yang saya temui menyambut saya dahulu bukanlah guru tetapi ibu bapa. Macam di Australia, bila ditanya, ibu bapa ini memberitahu "kami datang ke sini untuk membantu sekolah kami kerana anak-anak kamai belajar di sekolah ini," katanya. 

Beliau menekankan bahawa tidak ada yang paling utama selain pelajaran buat anak-anak kerana sejarah negara ini sudah membuktikan bahawa pelajaran mampu mengubah nasib seseorang atau bangsa. 

"Semasa (sebelum) merdeka, 70 peratus rakyat miskin kerana kita dijajah...walaupun ada sekolah tetapi tidak ada bantuan dari penjajah. Selepas merdeka, penyelesaian kepada soal kemiskinan itu ialah ilmu, dasar pelajaran negara kita ialah untuk membantu rakyat keluar dari kemiskinan itu dan hari ini peratusan itu telah menurun," katanya. 

Muhyiddin berkata, di bawah kerajaan Barisan Nasional (BN), banyak bidang-bidang sudah dikuasai oleh anak-anak Malaysia hasil daripada pendidikan berkualiti. 

Beliau turut menasihati pengurusan sekolah dan ibu bapa supaya turut mengutamakan aktiviti kokurikulum dan sukan.

"Ada sekolah yang tidak kisahkan keadaan padang, tidak kisah jika sekolah itu tiada gelanggang sukan kerana mereka terlalu mementingkan pencapaian pelajaran. 
Ada ibu bapa pula, ada yang menganggap aktiviti kurikulum menganggu kelas tuisyen anak-anak. 

"Sikap ini adalah satu kesilapan kerana sukan membantu membentuk sahsiah pelajar seperti sifat hormat dan bertanggungjawab," katanya. - BERNAMA 
logoblog

Thanks for reading Konsep Maya Akan Diperkenal KPM di Sekolah 2 Tahun Lagi

Previous
« Prev Post

No comments: