Tuesday, December 13, 2011

Lori Ais 'GHAIB' Rempuh Rumah Ibu Guru


ALOR GAJAH - Seorang guru yang sedang sibuk memotong rumput terkejut sebaik terdengar dentuman kuat sebuah lori ais yang merempuh stor rumah ibunya, Gan Yok Tau, 62, di Jalan Batu Belang, Pulau Sebang, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.30 pagi itu, Yap Kiam Fong, 42, berkata, lori ais terbabit bergerak tanpa pemandu dipercayai mengalami masalah pada brek tangan.

“Kedudukan saya memang dekat dengan stor itu, kemudian, mendapati lori itu tiada pemandu dan tembok stor barangan terpakai yang terletak tepi jalan sudah runtuh.

“Ketika kejadian, ada 15 ahli keluarga dalam rumah itu termasuk 11 kanak-kanak kerana kami adik-beradik pulang bersempena cuti sekolah,” katanya.

Difahamkan, pemandu lori ais itu sedang menghantar ais dan menyedari lori yang dinaiki ‘ghaib’ sebaik keluar dari kedai berkenaan sebelum mendapati ia sudah merempuh stor rumah yang terletak kira-kira 25 meter.

“Pemandu lori terkejut apabila mendapati lori yang dipandu itu tiada dan menyangka sudah dibawa lari penjenayah.

“Mujur saya dan adik segera mendirikan sebatang kayu bagi menghalang bumbung zink yang sudah roboh itu terus terjatuh walaupun terdapat rak yang menempatkan barang-barang terpakai dalam stor itu sudah roboh,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Supe­rintendan Umar Ali Saifuddin Shaharudin, mengesahkan kejadian lori muatan ais yang menggelongsor merempuh tembok bahagian stor sebuah rumah itu, namun tiada kecederaan di­laporkan.

“Difahamkan lori ais terbabit mengalami masalah pada brek tangan hingga menyebabkan ia meluncur sendiri pada jalan yang agak landai hingga merempuh bahagian tepi sebuah rumah yang menempatkan stor penyimpanan barangan terpakai,” katanya.


- SH

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...