Friday, December 30, 2011

Majlis Bahasa Inggeris Ditubuh Tahun 2012 Penentu Standard BI Pelajar Sekolah

  NR       Friday, December 30, 2011
KUALA LUMPUR 30 Dis. - Majlis Bahasa Inggeris akan ditubuhkan tahun depan bagi menentukan standard pencapaian Bahasa Inggeris pelajar sekolah, kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata, kini hanya terdapat satu pasukan khas Kementerian Pelajaran untuk menentukan pencapaian Bahasa Inggeris pelajar sekolah yang juga akan merujuk kepada pihak luar dalam menyediakan kertas peperiksaan.

"Bila kita kata pelajar itu pandai Bahasa Inggeris, itu apa maknanya, apa ukurannya, jadi untuk tujuan itu, kita sedang memikirkan pembentukan Majlis Bahasa Inggeris untuk menanda aras standard Bahasa Inggeris yang kita gunakan di Malaysia.

"Kerajaan tidak mahu bersikap syok sendiri untuk menyatakan bahawa pencapaian bahasa Inggeris yang dicapai oleh sekolah-sekolahnya mencapai piawaian antarabangsa kerana ada orang kata, mutu bahasa Inggeris pelajar dan rakyat negara ini masih rendah dan ada yang kata sebaliknya, katanya.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan mengejut ke Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Tun Dr Ismail di sini hari ini bagi melihat persiapan pihak sekolah bagi sesi persekolahan 2012 yang akan bermula minggu depan.

Beliau berkata, majlis itu yang akan ditubuhkan selepas mendapat persetujuan kerajaan akan menggunakan pakar dari dalam dan luar negara serta mungkin akan mengadakan kerjasama dengan Universiti Cambridge.

Katanya, majlis itu akan berfungsi sebagai badan bebas dan boleh juga dirujuk oleh pihak luar.

Muhyiddin hari ini turut mengumumkan bahawa Jawatankuasa Khas MBM/MBI (Mermartabatkan Bahasa Malaysia/Memperkukuhkan Bahasa Inggeris) merumuskan bahawa seramai 164,324 pelajar sekolah rendah menggunakan Bahasa Melayu sepenuhnya untuk mempelajari Sains dan 161,123 dalam Matematik. - BERNAMA

logoblog

Thanks for reading Majlis Bahasa Inggeris Ditubuh Tahun 2012 Penentu Standard BI Pelajar Sekolah

Previous
« Prev Post

No comments: