Tuesday, December 13, 2011

Melayu Bahasa Antarabangsa


SEBAHAGIAN daripada pelajar tempatan dan antarabangsa yang menjayakan program bersama keluarga angkat di UniMAP, Perlis, baru-baru ini.


Kemampuan bahasa Melayu dalam penyampaian dan pengupasan ilmu serta keindahannya seharusnya ditonjolkan di kalangan warga luar terutama tenaga pengajar dan pelajar antarabangsa yang sedang mengikuti pengajian di Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan Swasta (IPTS).

Menurut Naib Canselor Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Brig. Jen. Datuk Prof. Dr. Kamarudin Hussin, bagi pelajar antarabangsa, slot memperkenalkan budaya masyarakat Melayu dimasukkan ke dalam kalendar minggu suai kenal serta siri perjumpaan yang diadakan dari semasa ke semasa.

Dengan cara itu katanya, pelajar didedahkan kepada pelajaran asas bahasa Melayu selain turut diperkenalkan dengan adat tradisi masyarakat majmuk di Malaysia.

"Apabila selesai program minggu suai kenal, pelajar antarabangsa sudah boleh bertutur dan memahami perkataan asas seperti selamat pagi, tengah hari, malam dan petang, terima kasih serta lain-lain perkataan pertuturan seharian," katanya di dalam kenyataan yang dikeluarkan baru-baru ini.

Menurut beliau, sebaik sahaja memasuki semester pembelajaran, mereka perlu mengambil subjek bahasa Melayu sekurang-kurangnya untuk satu semester bagi meningkatkan lagi kefahaman masing-masing.

Di samping itu, terdapat program homestay yang dianjurkan dari semasa ke semasa, di mana pelajar antarabangsa menghabiskan masa bersama keluarga angkat tempatan bagi meningkatkan peluang mereka berbahasa Melayu serta memahami dengan lebih dekat budaya masyarakat Malaysia.

Dalam pada itu, satu lagi program, Sanggar Budaya bakal dilaksanakan. Program tersebut yang dibiayai sebahagiannya oleh Kementerian Pengajian Tinggi akan dijalankan sebagaimana program homestay di mana pelajar antarabangsa akan ditempatkan bersama keluarga angkat.

Prof. Dr. Kamarudin seterusnya memaklumkan, Pusat Hal Ehwal Antarabangsa UniMAP kini sedang merangka satu festival yang akan menjadi wahana untuk mengetengahkan kekuatan dan keindahan bahasa Melayu di kalangan pelajar antarabangsa.

"Festival tersebut mengandungi aktiviti seperti berpantun, bersajak, bergurindam, berbahas, berseloka, berpidato dan berdebat yang akan disertai oleh pelajar antarabangsa dan penyertaan adalah dibuka kepada semua IPTS dan IPTA di Malaysia," katanya.

Baru-baru ini, UniMAP turut menganjurkan Maraton Pembudayaan Puisi 1 Malaysia di mana beratus-ratus peserta berpuisi tanpa henti.

Maraton tersebut yang dianjurkan Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, UniMAP, Perbadanan Perpustakaan Awam Kedah, Universiti Sains Malaysia, Universiti Pendidikan Sultan Idris dan Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara), memilih UniMAP sebagai lokasi pertama penganjuran.

Mengulas lanjut saranan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin untuk memperkukuhkan bahasa Melayu dalam konteks pembelajaran dan pengajaran serta penyelidikan di IPT, Dr. Kamarudin berkata, UniMAP menyokong penuh usaha murni itu dan berpendapat ia amat betepatan bagi melahirkan modal insan intelektual yang dapat menjulang kedudukan negara.

Ujarnya, dalam keadaan di mana pelajar terdedah kepada bermacam-macam pengaruh dari pelbagai sudut dan perspektif hanya dengan penguasaan bahasa Melayu yang baik sahaja dapat dipastikan pelajar tidak lupa kepada perkara asas yang mendasari perpaduan kaum dan kejayaan di negara ini.

Menurut Prof. Dr. Kamarudin, usaha memartabatkan bahasa Melayu ini bukanlah bererti untuk mengenepi bahasa asing malahan beliau turut menyarankan setiap individu di Malaysia untuk menguasai sebanyak mungkin bahasa lain.

Namun, jelas beliau, sebagai warga Malaysia sewajarnya kita perlu menyematkan rasa sayang dan bangga dengan bahasa kita kerana sekiranya Malaysia tidak mempunyai bahasa jatinya, nilai Malaysia sebagai sebuah negara boleh diibaratkan seperti sampah, lemah dan tidak bermakna.

- Utusan

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...