Thursday, December 15, 2011

Murid SK Sungai Pasir Kechil Lemas Dijumpai Dalam Tasik

SUNGAI PETANI 14 Dis. - Seorang murid lelaki tahun tiga, Sulaiman Mohd. Zakaria yang dikhuatiri lemas akibat dihanyutkan arus deras ke dalam longkang di Bandar Puteri Jaya dekat sini kelmarin, ditemui mati hari ini.

Mayat murid Sekolah Kebangsaan Sungai Pasir Kechil itu ditemui terapung pada pukul 7.45 pagi dalam sebuah tasik tidak jauh dari tempat dia dihanyutkan arus deras tersebut.

Menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Petani, Timbalan Penguasa Rosdi Ismail, sembilan anggota bomba termasuk dari unit skuba terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat sejak kelmarin.

"Bagaimanapun, disebabkan keadaan hujan, kami gagal menemui mangsa sehinggalah pagi ini. Mayatnya ditemui terapung berdekatan tebing tasik," katanya kepada pemberita di tempat kejadian.

Sulaiman dipercayai tergelincir ketika bermain hujan bersama rakannya berdekatan longkang kira-kira pukul 5.30 petang.

Gerakan mencari kemudian dijalankan oleh anggota Bomba dan Penyelamat, polis, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia dengan bantuan penduduk setempat.

Mayat kanak-kanak itu dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim di sini untuk bedah siasat.

- UB

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...