Wednesday, December 28, 2011

Penuntut Jurusan Ekonomi & Kewangan Antarabangsa, Samantha Lee Pelajar Terbaik UMS-KAL

  NR       Wednesday, December 28, 2011

Dari kiri, Looi Irene, Samantha Lee dan Lai Wai Yen menerima anugerah masing-masing pada majlis penghargaan graduan UMS-KAL, baru-baru ini.


KOTA KINABALU 27 Dis. - Biarpun menjadi anak seorang mekanik, Samantha Lee, 23, membuktikan kemampuannya dalam bidang akademik apabila dipilih sebagai terbaik keseluruhan Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan (UMS-KAL) tahun ini.

Penuntut jurusan Ekonomi dan Kewangan Antarabangsa yang meraih Anugerah Emas UMS-KAL itu berkata, kejayaannya didorong sokongan dan doa ibu bapanya agar dia berjaya dalam pelajaran selain kerja keras selama menuntut di institusi pengajian tinggi itu.

''Saya bertungkus-lumus dalam pelajaran dan rapan bermanfaat seperti memberi fokus sepenuhnya ketika berada dalam kelas pengajian.

''Ketika pensyarah memberi tunjuk ajar, saya akan memberi fokus 100 peratus di dalam kelas. Sekiranya masih tidak memahami, saya akan bertanya kepada pensyarah selain mengulangkaji sendiri ketika lapang," katanya ketika ditemui selepas majlis penghargaan graduan (MPG) UMSKAL 2011 di Hotel Promenade, di sini baru-baru ini.

Samantha memperoleh Nilai Purata Gred Kumulatif (CGPA) 3.82 dan enam Anugerah Dekan sepanjang menuntut di UMSKAL.

Beliau menjelaskan, anugerah tersebut merupakan pencapaian tertinggi buat dirinya dalam akademik.

''Saya berazam untuk berjaya pada masa hadapan. Buat masa ini, saya akan menumpukan kerjaya dalam bidang kewangan untuk membantu keluarga tercinta," ujarnya yang turut ditemani oleh ibu bapanya, Nicholas Lee, 51, dan Lucy Lim, 49, pada majlis itu.

Sementara itu, penerima Anugerah Perak, Looi Irene, 23, berkata, sikap suka bertanya kepada pensyarah memberi lebih banyak manfaat kepada pelajar untuk memahami pembelajaran sedia ada.

''Sebagai pelajar, perkara utama adalah memberi tumpuan kepada pembelajaran dalam kelas. Namun, tidak menjadi masalah jika lebih banyak bertanya kepada pensyarah-pensyarah mengenai apa yang sukar difahami sewaktu bab-bab diberikan di universiti," katanya.

Rakannya, Lai Wai Yen, 23, yang menerima Anugerah Gangsa berpendapat, bahawa pembelajaran di institusi perlu diseragamkan untuk kebaikan masa hadapan seiring dengan pelbagai aktiviti ditawarkan di situ.

''Pada saya, ada waktunya untuk bermain dan belajar. Tapi yang penting tidak lari daripada sasaran pencapaian kita dalam pembelajaran diikuti di UMSKAL ini," katanya.

Majlis itu dirasmikan oleh Pengarah UMS-KAL, Profesor Dr. Shariff Omang yang mewakili Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Seri Dr. Kamaruzaman Ampon.

Dalam ucapannya, Kamaruzaman berkata, graduan diingatkan supaya sentiasa mempertingkat jati diri serta kemahiran dimilik selaras dengan keperluan cabaran masa depan.

''Saya percaya graduan akan melalui pelbagai cabaran serta dugaan dalam tempoh pengajian di UMS dan segala cabaran dilalui diharap akan menjadikan mereka lebih matang dalam menilai erti kehidupan sebenar.

''Tidak ada satu formula yang mudah untuk berjaya dalam hidup dan setiap individu bertanggungjawab menentukan kecemerlangan kerjayanya sendiri," katanya.

Katanya, UMSKAL mendapat peruntukan sebanyak RM24 juta di bawah Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10) bagi memperbaiki dan menambah baik fasiliti sedia ada.

''Pembinaan kemudahan seperti dewan kuliah pusat dan perpustakaan dijangka mampu menampung keperluan pelajar yang semakin bertambah setiap tahun," ujarnya.

- Utusan
logoblog

Thanks for reading Penuntut Jurusan Ekonomi & Kewangan Antarabangsa, Samantha Lee Pelajar Terbaik UMS-KAL

Previous
« Prev Post

No comments: