Thursday, December 15, 2011

Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia Sokong AUKU Dimansuh


SHAH ALAM - Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) menyambut baik saranan dan cabaran Tan Sri Muhyiddin Yassin, Timbalan Perdana Menteri Malaysia merangkap Menteri Pelajaran yang telah memberi pandangan pada sesi soal jawab sempena Konvensyen Integriti Nasional di Putarajaya, baru-baru ini.
“Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) boleh dipinda atau dihapuskan sekiranya mahasiswa memberikan sepenuh perhatian terhadap pelajaran tanpa digagahi oleh pihak lain,” kata Muhyiddin.
Presidennya, Ahmad Fahmi Mohd Samsudin dalam kenyataan berkata, sudah tiba masanya mahasiswa di menara gading diberi ruang dan peluang seluas-luasnya untuk menunjukkan kematangan dan kebolehan mereka berpolitik sesuai dengan realiti dan kehendak semasa.
Menurutnya, sebagai generasi pelapis kepimpinan masa depan, mahasiswa tidak harus terpisah dari arus perkembangan politik semasa kerana ia juga sebagai satu cabang ilmu.
“Senario terkini dalam negara memperlihatkan ada di kalangan pimpinan negara mengkritik dan membidas dengan keras terhadap mahasiswa yang terlibat dalam kegiatan politik kecuali beberapa pimpinan politik yang dilihat konsisten dalam isu mahasiswa ini,” katanya.
Ahmad Fahmi juga mengesyorkan mahasiswa dibenarkan untuk terlibat di dalam kegiatan politik sebagai mengiktiraf kematangan dan kewarasan mahasiswa sebagai kelompok berilmu selain memenuhi hak sebagai warganegara yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan.
Beliau percaya bahawa mahasiswa hari ini akan menyahut cabaran Tan Sri Muhyiddin Yassin dan membuktikan bahawa mahasiswa sudah pandai menilai dan tahu membezakan baik dan buruk di dalam sistem politik negara.
“Sekiranya budaya menyekat mahasiswa dari terlibat dengan isu-isu pemikiran politik seolah-olah memperlekehkan sistem pendidikan negara sendiri yang berusaha melahirkan generasi mahasiswa yang rasional, patriotik dan matang.
“Mahasiswa seharusnya diberi kebebasan dan budaya takut ini harus dikikis bagi membentuk satu budaya baru dan minat yang tinggi terhadap perkembangan politik kenegaraan di kalangan mahasiswa,” katanya lagi.
Justeru itu, diharapkan kerajaan mempertimbangkan secara serius untuk meminda beberapa peruntukan di dalam AUKU khususnya Seksyen 15(5) Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) selaras dengan agenda transformasi politik yang dibawa Perdana Menteri dan juga mengambil semangat dan iltizam kerajaan dalam membuat keputusan memansuhkan akta drakonian lain seperti Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).
- SH

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...