Saturday, December 31, 2011

Program Pengukuhan Bidang Pendidikan Negara Sepanjang 2011

  NR       Saturday, December 31, 2011

11 MAC - PESERTA Turki, Halil Ibrahim dinobatkan sebagai juara Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu Piala Perdana Menteri 2011 bagi kategori antarabangsa dan peserta dari Malaysia, Amirrudin Abd. Rahman pula muncul juara kategori nusantara. Hadiah disampaikan oleh Datuk Seri Najib Tun Razak di Pusat Konvensyen Antarabangsa (PICC), Putrajaya.



KEMENTERIAN Pelajaran Malaysia (KPM) sepanjang 2011 telah melaksanakan pelbagai inisiatif untuk membawa perubahan dalam bidang pendidikan sejajar dengan transformasi negara.

Inisiatif-inisiatif berterusan yang dilakukan ini dilihat telah berjaya membawa impak besar dalam usaha melonjakkan mutu dan kualiti pendidikan di Malaysia.

Usaha murni ini bertujuan untuk melahirkan modal insan yang dilengkapi dengan pelbagai kemahiran penting sebagai bekalan untuk mereka berhadapan dengan cabaran pendidikan semasa serta pengetahuan berguna bagi kerjaya di masa hadapan.

Antaranya ialah bantuan persekolahan bernilai RM2.5 bilion yang diagihkan kepada 16 Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) dan tujuh bahagian pengurusan sekolah di bawah KPM.

Selain itu, kerajaan turut memberi Anugerah Tawaran Baru sebanyak RM7,500 setiap seorang kepada guru besar dan pengetua yang telah berjaya membawa lonjakan kepada sekolah masing-masing.

Inisiatif Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT) dan Program Pembangunan Prestasi Sekolah (SIP) di bawah Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) juga dilihat memberi impak besar kepada sistem pendidikan negara.

Selain itu, 40,000 guru turut diberikan latihan dan pendedahan menjadi jurulatih sukan di semua peringkat persekolahan bagi merealisasikan dasar 1Murid 1Sukan.

Kerajaan juga turut menyediakan wang bantuan persekolahan bernilai RM100 kepada kira-kira 5.5 juta pelajar sekolah sebagai wang bantuan khas awal persekolahan.

Sementara itu bagi 2011 juga menyaksikan satu transformasi di bawah Kemeterian Pengajian Tinggi apabila kerajaaan membuat keputusan meminda Seksyen 15 Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971 bagi membolehkan penuntut di institusi pengajian tinggi awam dan swasta yang yang berusia 21 tahun ke atas menyertai parti politik.

Pindaan tersebut yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak memberi kebebasan hampir 500,000 penuntut dalam kelompok usia berkenaan untuk menjadi ahli mana-mana parti politik.

Keputusan itu dibuat bagi menghormati kematangan dan hak perlembagaan penuntut yang telah mencapai umur mengikut ketetapan undang-undang.

- Utusan

logoblog

Thanks for reading Program Pengukuhan Bidang Pendidikan Negara Sepanjang 2011

Previous
« Prev Post

No comments: